X

Kindly register in order to view this article
!

Mayat mangsa nahas ditemui selepas 14 jam

Sebuah kenderaan jenis Honda CRV terbabas ke dalam gaung di Kampung Sungai Ular, Kulim pagi tadi. (Gambar kecil: Azhar Hashim)
A
A

ALOR SETAR - Mayat seorang pemandu kenderaan ditemui selepas 14 jam terlibat dalam kemalangan di Jalan Kulim- Serdang (Ladang Sungai Ular), dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, mangsa, Wan Syazwi Wan Ahmad Basharuddin, 33, yang beralamat di Taman Merpati, Kulim, maut selepas kenderaan dinaiki terbabas dalam curam tepi jalan itu.

Menurut Azhar, pihaknya menerima laporan kemalangan melibatkan kereta jenis Honda CRV daripada orang awam kira-kira jam 7.50 pagi tadi.

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati mangsa terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya lebih kurang jam 6 petang, semalam.

"Berdasarkan siasatan, mangsa dalam perjalanan dari arah Serdang ke Kulim untuk pulang ke rumahnya sebelum kenderaan dipandunya hilang kawalan ketika tiba di selekoh Jalan Sungai Ular," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut kereta masuk gaung

Beliau berkata, kenderaan dipandu mangsa terbabit kemudiannya terbabas ke laluan bertentangan dan terus terjatuh dalam curam di tepi jalan tersebut.

Katanya, kemalangan terbabit menyebabkan kereta dinaiki mangsa rosak apabila remuk teruk di bahagian hadapan, cermin depan sebelah kanan pecah dan pintu depan sebelah kanan turut kemek.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian namun punca kematian masih belum diterima dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, mana-mana individu menyaksikan kemalangan terbabit diminta berhubung dengan Inspektor Ruznizam Mahaya Din dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kemalangan maut melibatkan seorang pemuda apabila kenderaan dinaikinya terbabas ke dalam gaung di Jalan Sungai Ular, dekat sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pasukan bomba menjumpai mangsa kira-kira lima meter dari lokasi kenderaan terbabas sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya menggunakan pengusung untuk mengangkat mangsa ke bahu jalan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!