X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada kes polio di Labuan setakat ini: Dr Noor Hisham

Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat vaksin polio secara suntikan mengikut jadual yang ditetapkan pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada kes polio dalam kalangan penduduk Wilayah Persekutuan (WP) Labuan setakat ini berdasarkan survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) dan saringan rawak ke atas 41 kanak-kanak sihat di bawah umur 5 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, susulan pengesanan virus polio dalam air kumbahan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan WP Labuan menjalankan kempen imunisasi polio bagi mencegah jangkitan dalam kalangan penduduk.

"Kempen ini melibatkan pemberian dua dos vaksin bivalent oral polio type 1 dan 3 (bOPV) yang diberikan secara titisan ke dalam mulut dengan menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di WP Labuan.

"Ibu bapa di WP Labuan perlu memastikan anak-anak yang berumur 13 tahun menerima vaksin oral polio seperti yang dinyatakan dan sebarang pertanyaan mengenai kempen itu boleh didapati dengan menghubungi Bilik Gerakan Polio Jabatan Kesihatan WP Labuan di talian 087-596020 atau 087-596160," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa sama, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah masih meneruskan kempen imunisasi polio di Sabah dan bilangan kes di negeri itu kekal empat kes.

"Bagi kanak-kanak di negeri selain Sabah dan WP Labuan, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat vaksin polio secara suntikan mengikut jadual yang ditetapkan pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

"Sekiranya terdapat kanak-kanak yang tercicir suntikan vaksin polio, ibu bapa dinasihatkan agar hadir ke klinik kesihatan bagi penjadualan semula suntikan vaksin mengikut kesesuaian umur kanak-kanak tersebut," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, vaksin polio yang diberi secara suntikan dalam bentuk vaksin lima serangkai (DTap-IPV/Hib) yang mengandungi komponen antigen difteria, tetanus, pertussis, polio dan Haemophilus influenzae type b perlu diambil mengikut jadual yang ditetapkan pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan.

"Ini bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat dilindungi daripada jangkitan polio secara optimum, manakala vaksin oral polio merupakan pemberian vaksin polio tambahan, bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan,” katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus