X

Kindly register in order to view this article
!

Reunion 39ers sambut ulang tahun ke-39

Tengku Kamarulzaman (tengah) bersama bekas pegawai kadet TJP 39 (39ers) sempena program reunion di Institut Pegawai Kanan Tentera Darat, Port Dickson hari ini.
A
A

PORT DICKSON - Penganjuran reunion bekas pegawai kadet Tauliah Jangka Pendek (TJP) 39 (39ers) kali ini begitu istimewa kerana turut meraikan ulang tahun TJP 39 yang ke-39 sambil semua peserta mengimbau nostalgia manis.

Penaung TJP 39ers, Leftenan Kolonel Datuk Seri Tengku Kamarulzaman Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar berkata, seramai 79 bekas pegawai kadet TJP 39 menyertai program reunion yang diadakan di Institut Pegawai Kanan Tentera Darat (Inspeka TD) di sini hari ini.

"Sebagai meraikan hari bersejarah ini, kami semua berkumpul di Port Dickson kerana di sini kami dilatih sebagai pegawai kadet pada tahun 1980 dan ditauliahkan pada 27 Jun 1981.

"Semasa pentauliahan ada lebih kurang 270 individu, melibatkan tiga batalion iaitu Tuah, Kasturi dan Jebat," katanya ketika ditemui dalam program berkenaan.

Tambah beliau, ramai di antara rakan-rakannya sudah ada yang bersara dan ada juga masih berkhidmat dalam pasukan Tentera Darat, tidak kurang juga ada yang telah meninggal dunia.

"Insya- ALLAH, saya harap 'Intake 39ers' akan kekal bersama sebagai sahabat walaupun umur masing-masing sudah meningkat dan sentiasa berusaha untuk yang terbaik," kata beliau.

Tengku Kamarulzaman menyatakan, selain penganjuran reunion seperti itu, pihaknya juga mengadakan perjumpaan bersama rakan seperjuangannya dalam kumpulan kecil.

Sementara itu, penyelaras program yang juga bekas pegawai kadet TJP 39, Kolonel Hasni Suhaimi Hassan berkata, beliau begitu gembira kerana dapat bertemu rakan-rakan lama susulan penganjuran reunion tersebut.

"Tahun ini reunion paling istimewa kerana dapat meraikan ulang tahun 39ers yang ke 39 sekali gus menyemarakkan kembali nostalgia pada tahun 1981. Banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan selama bersama rakan-rakan seperjuangan," katanya.

Seramai 79 bekas pegawai kadet TJP 39 hadir pada program reunion 39ers di Inspeka TD yang berlangsung meriah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf