TV Alhijrah tandatangani MoA dengan Kumpulan Mofaz

Namanzee Harris
Namanzee Harris
A
A
A

KUALA LUMPUR - Alhijrah Media Corporation (TV Alhijrah) melebarkan lagi jaringan kerjasama dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Kumpulan Mofaz Sdn Bhd bagi memperkasakan dan memperkayakan bakat insan dan melestarikan ummah menerusi al-Quran dan as-Sunnah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, melalui kerjasama itu, Kumpulan Mofaz akan menaja MY #QuranTime untuk tempoh dua tahun.

"Saya berpendapat bahawa MoA pada hari ini akan menjadi pemangkin untuk membina entiti perniagaan yang berdaya maju dan seterusnya menguntungkan kedua-dua belah pihak.

"Tahniah juga saya ucapkan buat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) kerana turut bersama-sama kami dalam menjadikan al-Quran sebagai kerangka fikir, sistem operasi diri dan seterusnya mencapai misi mengQurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah," katanya ketika berucap pada majlis MoA antara TV Alhijrah dan Kumpulan Mofaz di sini semalam.

Namanzee berkata, peluang bekerjasama dengan syarikat terkenal itu akan dijadikan pemangkin dan penjana ekonomi serantau yang dilihat selari dengan aspirasi TV Alhijrah dalam menggerakkan potensi ummah.

"Reputasi TV Alhijrah sebagai jenama dinamik yang mempromosikan cara hidup Islam tidak dapat dinafikan lagi apabila sedari penubuhannya sehingga kini, stesyen televisyen kami sentiasa menerbitkan rancangan berkualiti yang mampu memberi nilai tambah kepada kehidupan sekalian penonton yang mengikuti siaran kami," katanya.

Sementara itu, Namanzee turut memaklumkan bahawa rancangan MY #QuranTime kini menduduki tangga keempat dalam carta 20 program terbaik di stesen televisyen terbabit.

"Rancangan ini juga telah mencecah jumlah tontonan sebanyak 2.1 juta tontonan sepanjang Jun 2020. Ini sudah semestinya membuktikan kekuatan jenama TV Alhijrah serta kebolehupayaan stesen kami bersaing dalam mengukuhkan jenama dikalangan audiens Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, program yang bersiaran secara langsung dihasilkan ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang pada mulanya dikenali dengan Malaysia #QuranTime.

"Di atas kejayaan yang cukup manis ini, kita jenamakan semula Malaysia # QuranTime menjadi MY #QuranTime.

"My #QuranTime merupakan program televisyen yang pertama dalam sejarah yang mengajak penonton untuk sama-sama mentadabbur al-Quran dari halaman pertama hingga halaman 604 iaitu halaman terakhir.

"Ia bersiaran selama satu jam setiap hari iaitu pada jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari dan dijayakan oleh tiga nama besar yang tidak asing lagi iaitu Fazrul Ismail, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman," katanya.