LWOT dibuka semula kepada pengunjung

Nolee Ashilin (tiga dari kanan) berpuas hati dengan pematuhan SOP dilakukan pengurusan LWOT yang dibuka semula sepenuhnya bermula hari ini.
Nolee Ashilin (tiga dari kanan) berpuas hati dengan pematuhan SOP dilakukan pengurusan LWOT yang dibuka semula sepenuhnya bermula hari ini.
A
A
A

IPOH - Taman tema air Lost World Of Tambun (LWOT) di sini dibuka semula sepenuhnya kepada pengunjung bermula hari ini dengan penambahbaikan beberapa garis panduan sebagai langkah pencegahan.

Pengurus Besar Lost World Of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, selain pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, pihaknya turut melakukan beberapa tambahan langkah pencegahan antaranya pemeriksaan kualiti air setiap dua jam.

"Pemeriksaan ini bagi memastikan kandungan klorin dalam air yang bertindak sebagai bahan aktif mencegah kuman berada pada tahap normal.

"Ini penting bagi memastikan pengunjung terutama kanak-kanak mendapat pengalaman keseronokan bercuti dan keselamatan yang lebih baik di sini," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh operasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kapasiti pengunjung terpaksa dihadkan kepada 8,000 orang sahaja berbanding kapasiti sebenar 38,000 orang bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Katanya, harga tiket masih dikekalkan seperti sebelum ini iaitu RM110 bagi kanak-kanak dan RM117 dewasa selain menggunakan waktu operasi sama iaitu dari jam 11 pagi hingga 11 malam.

Nurul Nuzairi menunjukkan pemeriksaan kualiti air yang dilakukan di LWOT kepada Nolee Ashilin yang melakukan lawatan kerja bagi pematuhan SOP di taman tema itu hari ini.
Nurul Nuzairi menunjukkan pemeriksaan kualiti air yang dilakukan di LWOT kepada Nolee Ashilin yang melakukan lawatan kerja bagi pematuhan SOP di taman tema itu hari ini.

"Kita menerima sambutan di luar jangkaan pada hari pertama pembukaan hari ini dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung dalam tempoh 45 minit selepas dibuka pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

"Dengan garis panduan yang dilaksanakan ini menjadikan taman ini lebih selamat dan kita jangkakan kehadiran yang lebih ramai selepas ini," katanya.

LWOT merupakan satu-satunya taman tema di Asia Tenggara dengan mata air semula jadi selain menawarkan keseronokan bermain air, pengunjung juga boleh menikmati pengembaraan di Amusement Park, Tin Valley, Tiger Valley, Petting Zoo dan Adventure Park.

Dalam pada itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang membuat lawatan kerja ke LWOT berkata, kerajaan negeri mempergiat penguatkuasaan pematuhan SOP di semua lokasi pelancongan bagi memastikan keselamatan pelancong yang berkunjung ke negeri ini terjamin.

"Secara tidak langsung, ia dapat mengembalikan keyakinan pelancong terhadap keselamatan dan kesihatan di destinasi pelancongan yang dikunjungi," katanya.

Menurutnya, sehingga kini sektor pelancongan Perak menerima 7,736 tempahan hotel sejak kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik dan rentas negeri pada 10 Jun lalu.