Saringan suhu badan, pelitup muka antara kebiasaan baharu

Pengundi diambil suhu badan sebelum dibenarkan memasuki pusat mengundi untuk proses mengundi pada PRK DUN Chini di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 hari ini. - Foto Bernama
Pengundi diambil suhu badan sebelum dibenarkan memasuki pusat mengundi untuk proses mengundi pada PRK DUN Chini di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Khemah khas saringan suhu badan dan rekod kehadiran antara kebiasaan baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang berlangsung semasa pandemik Covid-19.

Pemerhatian di pusat mengundi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 dekat sini mendapati semua pengundi yang hendak masuk ke pusat mengundi perlu melalui saringan suhu badan di khemah pertama berhadapan pintu pagar, selain diwajibkan memakai pelitup muka.

Jika lazimnya, barung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi 'tumpuan' pengundi untuk mengetahui saluran mengundi, kali ini barung itu boleh dikatakan sepi kerana majoriti pengundi sudah tahu saluran yang hendak dituju melalui Kad Pengundi yang diterima mereka sebelum hari pengundian.

Langkah itu bertujuan untuk mengelakkan berlaku kesesakan, sama seperti tujuan SPR pada PRK DUN Chini mengeluarkan waktu cadangan mengundi, sebagai langkah pematuhan kepada aspek penjarakan sosial ekoran pandemik tersebut.

Aspek penjarakan juga menyebabkan kedudukan kerusi di saluran melibatkan warga emas disusun satu meter antara satu sama lain, manakala di saluran 'orang muda', anggota polis dan kakitangan SPR kerap mengingatkan pengundi untuk mematuhi jarak yang ditetapkan.

Selain itu, penggunaan cecair pembasmi kuman juga amat dititikberatkan khususnya di khemah-khemah SPR, selain pengundi perlu menggunakan sarung tangan plastik sebelum mengundi, yang akan dibuka apabila kakitangan SPR perlu 'menanda' dakwa kekal pada jari mereka dengan menggunakan berus.

Ini juga kelainan pada PRK DUN Chini kerana lazimnya pengundi perlu mencelup jari mereka ke dalam bekas dakwat itu, untuk menandakan mereka telah selesai melaksanakan tanggungjawab mereka.

Artikel Berkaitan:

Pengundi kelihatan menggunakan pembersih tangan (hand sanitize) sebelum mengundi pada PRK DUN Chini di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 hari ini. - Foto Bernama
Pengundi kelihatan menggunakan pembersih tangan (hand sanitize) sebelum mengundi pada PRK DUN Chini di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 hari ini. - Foto Bernama

Selesai sahaja mengundi, kakitangan SPR akan segera mengingatkan mereka supaya menuju ke khemah khas untuk merekodkan kehadiran mereka di pusat pengundian, bagi memudahkan proses 'pengesanan' jika berlaku kejadian ‘tidak diingini’ di pusat mengundi.

Pengundi boleh merekodkan kehadiran mereka sama ada menggunakan telefon pintar mereka untuk mengimbas kod QR MySejahtera, yang dibangunkan kerajaan untuk membantu pengawasan penularan wabak Covid-19 atau secara manual dengan meninggalkan nombor telefon kepada kakitangan SPR.

Selain kehadiran petugas SPR dan polis, turut kelihatan di pusat pengundian iaitu petugas kesihatan yang mana kehadiran mereka adalah sebagai langkah berwaspada jika terdapat pengundi yang bergejala Covid-19.

PRK DUN Chini menyaksikan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan generasi kedua Felda Chini, Mohd Sharim Md Zain, 41, untuk mempertahan kerusi DUN itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang merupakan penulis blog.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 7 Mei lepas. Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU-11) pada 2004.

PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065). - Bernama