47 individu pulang ke Malaysia sejak 10 Jun positif Covid-19

Semua pihak termasuk kru pesawat perlu menjalani saringan Covid-19 di KLIA. - Foto Sumber Internet
Semua pihak termasuk kru pesawat perlu menjalani saringan Covid-19 di KLIA. - Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 47 individu yang pulang ke negara ini sejak 10 Jun lalu sehingga semalam didapati positif koronavirus (Covid-19), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, kesemua individu itu dikesan positif hasil saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas 10,278 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh tersebut.

"Daripada jumlah ini, 10,231 individu didapati negatif Covid-19 dan menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

"Mereka yang didapati positif dihantar ke hospital untuk rawatan," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini

Ismail Sabri berkata, semalam seramai 1,171 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari Indonesia, Singapura, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, China, Pakistan, Brunei, Hong Kong, Vietnam, Arab Saudi, Australia dan Filipina.

Menurutnya, daripada jumlah itu 1,164 individu diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala tujuh individu dibawa ke hospital.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 944 pemantauan pematuhan standard prosedur operasi (SOP) kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP ditetapkan.

Mengenai operasi pematuhan PKPP, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan 77 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah ini, 13 individu direman manakala 64 lagi telah dikompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti sukan sentuh (15 kes), aktiviti pub atau kelab malam (12 kes) dan aktiviti yang melanggar SOP (50 kes)," katanya.

Katanya, seramai sembilan warga asing ditahan kerana kesalahan imigresen hasil 66 sekatan jalan raya bagi mengekang jenayah rentas sempadan terutama di lorong-lorong tikus di seluruh negara. - Bernama