Gerakan koperasi mampu bawa perubahan

Wan Junaidi meraikan Hari Koperasi Antarabangsa pada hari ini.
Wan Junaidi meraikan Hari Koperasi Antarabangsa pada hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin gerakan koperasi di negara ini mampu membuat perubahan terhadap iklim ekonomi dalam negara.

Menurut beliau, terdapat 14,625 koperasi di negara ini dengan keanggotaan seramai 6.09 juta.

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) dan agensi di bawahnya iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) akan menyelaraskan tindakan untuk mewujudkan kesedaran menerusi pendidikan serta inovasi teknologi terkini.

"Saya berharap koperasi di dalam negara menjadikannya satu wadah perjuangan untuk bersatu meningkat dan membangunkan sosioekonomi secara bersama dengan mengamalkan prinsip-prinsip dan amalan berkoperasi bagi mencapai kemakmuran bersama.

"4 Julai pada tahun ini adalah sambutan Hari Koperasi Antarabangsa dengan tema Co-operative For Climate Action.

"Selaras dengan tema itu saya menyeru gerakan koperasi bersama-sama menyahut cabaran untuk membangunkan ekonomi tanpa melupakan perlindungan terhadap persekitaran dengan meningkatkan penggunaan teknologi hijau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Wan Junaidi berkata, sambutan Hari Koperasi Antarabangsa pada setiap Sabtu minggu pertama Julai diisytiharkan oleh International Co-operative Alliance (ICA) dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sehubungan itu, beliau mengucapkan selamat menyambut Hari Koperasi Antarabangsa buat seluruh rakyat dan anggota koperasi di Malaysia serta di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Ancaman wabak Covid-19 telah memberikan kesan terhadap ekonomi negara dan masyarakat usahawan khususnya.

"Menyedari kepentingan bersama untuk bertindak segera dalam memerangi perubahan iklim ekonomi yang masih suram, saya berharap dengan tema Co-operative For Climate Action dapat menyatukan seluruh masyarakat koperasi," katanya.