49 peratus keluar mengundi setakat jam 12

Para pengundi kelihatan mematuhi penjarakan sosial yang telah ditetapkan ketika proses mengundi di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 hari ini. - Foto Bernama
Para pengundi kelihatan mematuhi penjarakan sosial yang telah ditetapkan ketika proses mengundi di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Sejumlah 49 peratus daripada 20,816 pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini setakat jam 12 tengah hari tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, jumlah itu dijangka bertambah dari masa ke masa susulan tempoh mengundi masih dibuka sehingga jam 5.30 petang nanti.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, SPR menjangkakan 70 peratus penduduk Chini keluar mengundi pada hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, proses pengundian berjalan lancar dan pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan berada pada tahap memuaskan.

"Namun yang agak susah untuk kita kawal ialah penjarakan sosial.

"Bagaimanapun, secara amnya proses semasa pengundi menuju ke khemah saringan dan semasa menunggu dalam bilik mengundi, SOP dipatuhi dengan baik, cuma pengundi ambil masa menunggu yang agak lama.

"Ini mungkin disebabkan oleh proses baharu dalam pengundian seperti pengundi perlu pakai sarung tangan, ambil suhu dan sebagainya menjadikan perjalanan proses undi tu perlahan sikit berbanding biasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Semak Bakti Felda Chini 3 di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setakat ini didapati tiada pengundi bergejala yang perlu disaring ke khemah khas dan tiada sebarang provokasi terhadap proses undi atau sepanjang kempen PRK sejak bermula 20 Jun lalu.

"SPR akan tetap melaksanakan penambahbaikan selepas berakhirnya PRK ini nanti kerana perlu bersedia sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada bila-bila masa," katanya.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini 2020 merupakan PRK ke-11 diadakan selepas PRU14.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun daripada UMNO pada 6 Mei 2020 akibat serangan jantung.

Hari penamaan calon diadakan pada 20 Jun lalu manakala pengundian awal berlangsung pada 30 Jun lalu.