Orang asli redah Tasik Chini pergi mengundi

Para pengundi beratur menunggu giliran mengundi Pusat Mengundi di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 di sini hari ini. - Foto Bernama
Para pengundi beratur menunggu giliran mengundi Pusat Mengundi di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Meskipun tinggal jauh di pedalaman, masyarakat orang asli di kawasan Tasik Chini tidak menjadikan itu sebagai halangan untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini hari ini.

Antaranya Awang Kasim, 65, yang seawal jam 7 pagi bersama isterinya Risom Entet, 64, dan anak bongsunya Linda Awang, 25, sudah keluar dari rumah di Kampung Cenahan, sebuah perkampungan orang asli melibatkan tujuh keluarga di Tasik Chini.

Mereka keluar awal dari rumah kerana perlu meredah tasik selama 15 minit menggunakan bot sendiri untuk ke jeti terdekat di Kampung Gumum sebelum menaiki kenderaan sejauh 15 kilometer (km) ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Khincir di Sungai Duri dekat sini.

“Sebab itu kami kena keluar rumah awal supaya tidak sampai lewat. Kalau lewat nanti lagi lama pula kena beratur. Ini pun saya beratur lebih setengah jam sebelum boleh mengundi," katanya kepada Bernama selepas selesai mengundi.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, dia lebih selesa menggunakan jalan air walaupun terdapat jalan darat kerana ia agak jauh dan perlu meredah jalan ladang kelapa sawit yang teruk.

“Anak-anak saya yang lain lebih gemar melalui jalan darat walaupun perlu meredah dekat sejam perjalanan. Saya dah tidak larat, lebih baik naik bot sendiri dan tunggu orang membawa ke pusat mengundi,” kata pengendali bot pelancong Tasik Chini itu.

Sementara itu, Risom berkata, tanggungjawab sebagai pengundi harus dilaksanakan bagi memilih wakil rakyat yang boleh menjaga kebajikan mereka.

Artikel Berkaitan:

Para pengundi kelihatan mematuhi penjarakkan sosial yang telah ditetapkan ketika proses mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Chini di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 hari ini. - Foto Bernama
Para pengundi kelihatan mematuhi penjarakkan sosial yang telah ditetapkan ketika proses mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Chini di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 hari ini. - Foto Bernama

Menurutnya, ini merupakan kali keempat beliau mengundi dan mengakui terdapat perbezaan mengundi dahulu dan sekarang iaitu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dulu perlu celup jari (dakwat SPR). Sekarang tadah saja tangan dan mereka yang calitkan dakwat di tangan, pakai sarung tangan dan lepas itu barulah pilih siapa (pemimpin) yang kita mahu,” katanya.

Terdapat dua perkampungan Orang Asli di sekitar Tasik Chini iaitu Kampung Cenahan dan Tanjung Kuput membabitkan keseluruhan 18 keluarga dengan 32 pengundi berdaftar yang mengundi di SK Khincir.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain dan dua calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

Terdapat 20,990 pengundi berdaftar termasuk 18 pemilih awal dalam DUN Chini. Daripada jumlah itu, 1,900 atau 22 peratus adalah pengundi kalangan masyarakat orang asli. - Bernama