77 kes penipuan malware babit kerugian RM4.08 juta

Sebanyak 77 kes penipuan aplikasi penyamaran kod hasad (malware) direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan membabitkan kerugian berjumlah RM4.08 juta. Foto: 123RF
Sebanyak 77 kes penipuan aplikasi penyamaran kod hasad (malware) direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan membabitkan kerugian berjumlah RM4.08 juta. Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 77 kes penipuan aplikasi penyamaran kod hasad (malware) direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan membabitkan kerugian berjumlah RM4.08 juta.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mendedahkan, kebanyakan malware dihantar kepada mangsa yang menerima panggilan penyamaran daripada pihak bank atau penguat kuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya, ini bertujuan bagi mewujudkan ketakutan kepada mangsa bagi memastikan mangsa mengikut arahan suspek.

Beliau berkata, kebanyakan malware ini akan menggunakan logo penguat kuasa untuk meyakinkan mangsa.

"Bila mangsa ketakutan, penjenayah ini kemudiannya akan menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp atau pesanan khidmat ringkas (SMS) yang mempunyai pautan malware yang berbentuk web.

"Ini berfungsi bagi suspek mendapatkan nama pengguna, nombor telefon serta kata laluan bagi mendapatkan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) bank mangsa," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Saiful Azly berkata, bagi langkah mengatasi jenayah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), perbankan serta CyberSecurity Malaysia (CSM) untuk mengesan individu yang bertanggungjawab mencipta malware terbabit.

"Kita juga sedang giat mengesan di mana tempat pengoperasian sindiket ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, pihaknya mengingatkan masyarakat agar berwaspada dengan panggilan penyamaran sebagai pihak berkuasa.

"Usah mudah percaya dengan sebarang bentuk arahan yang mencurigakan. Maklumkan kepada ahli keluarga, buat semakan dengan pihak berkuasa serta tidak menyerahkan sebarang maklumat peribadi dan perbankan," katanya.