Industri nanas terus diperkasa

Ronald (kiri) melihat proses pembungkusan nanas di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan KPF.
Ronald (kiri) melihat proses pembungkusan nanas di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan KPF.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Industri pengeluaran nanas negara terus diperkasa menerusi usaha menarik lebih ramai agropreneur muda terlibat dalam penanaman nanas yang kini dikategorikan sebagai sumber kekayaan baharu negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memainkan peranan dalam melaksanakan program tanaman melibatkan golongan muda yang juga pemangkin kepada sektor pertanian negara.

Menurutnya, antara program LPNM yang berjaya menarik minat golongan muda ialah Projek Kluster Nanas Lestari (KNAL) yang dibangunkan di Tanah Abang Mersing, Stesen Nanas Alor Bukit Pontian dan Stesen Nanas Sungai Tong Terengganu.

Ronald (kiri) diberikan taklimat ketika melawat Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia di Wisma Nanas, Bandar Baru Uda kelmarin.
Ronald (kiri) diberikan taklimat ketika melawat Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia di Wisma Nanas, Bandar Baru Uda kelmarin.

“Sekiranya kita ingin melihat anak-anak muda sama ada lepasan sekolah atau lepasan universiti yang berminat dalam bidang pertanian, penanaman nanas adalah paling sesuai diceburi.

“Kerajaan menyediakan dana di bawah program agropreneur muda melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan pinjaman mikrokredit yang dikendalikan di bawah Agrobank,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat industri nanas di ibu pejabat LPNM di Wisma Nanas di sini kelmarin.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Zainal Azman Abu Seman; Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali; Pengerusi LPNM, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Pengarah LPNM, Ruhaida Mashhor.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti membaja nanas menggunakan boom sprayer di Kulim Pineapple Farm, Ulu Tiram.
Aktiviti membaja nanas menggunakan boom sprayer di Kulim Pineapple Farm, Ulu Tiram.

Ronald berkata, Johor merupakan negeri terbesar tanaman nanas iaitu seluas 9,700 hektar dan merupakan perintis kepada penanaman nanas variati MD2 di negara ini.

Katanya, keluasan tanaman nanas itu merangkumi 58 peratus bagi keseluruhan kawasan tanaman nanas negara seluas 16,650 hektar.

“Eksport pengeluaran nanas negara pada tahun lepas sebanyak RM491 juta, meningkat sebanyak 60 peratus daripada RM343 juta pada tahun 2018.

“Malaysia dalam kedudukan ke-19 dunia dari segi pengeluar buah nanas. Antara negara utama yang dieksport adalah Singapura, Mesir, UAE, China, Jepun dan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata, apabila melihat pandemik koronavirus (Covid-19) yang hampir reda, kementerian menjangkakan eksport produk bahan makanan meningkat berikutan import mahupun eksport bahan makanan itu tidak menunjukkan perubahan yang ketara.

Ronald (duduk, dua dari kiri) menaman nanas sebagai simbolik perasmian Melita Hut.
Ronald (duduk, dua dari kiri) menaman nanas sebagai simbolik perasmian Melita Hut.

Atas dasar keprihatinan kerajaan, katanya, peruntukan tambahan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi (PRE) sebanyak RM13.6 juta telah disalurkan kepada LPNM bagi merangsang pertumbuhan sektor industri nanas di sepanjang rantaian nilai terutamanya kepada pekebun-pekebun kecil.Pada program jelajah mesra kelmarin, Ronald turut melawat Kulim Pineapple Farm (KPF) di Ulu Tiram bagi melihat aktiviti yang dijalankan iaitu penanaman, pemasaran, pengeksportan dan pembangunan industri hiliran nanas.

Ketika lawatannya, Ronald turut menyaksikan aktiviti membaja nanas menggunakan boom sprayer di ladang berkenaan.

Beliau juga menanam nanas MD2 sebagai simbolik lawatan, merasmikan kios Melita Hut dan menyaksikan proses pengumpulan nanas.

Ronald merasmikan Melita Hut ketika melawat KPF kelmarin.
Ronald merasmikan Melita Hut ketika melawat KPF kelmarin.