FAS akhirnya beri lampu hijau kepada Luqman Hakim ke KV Kortrijk

Luqman Hakim (tengah) ketika memperkuatkan cabaran skuad Datuk Ong Kim Swee tahun lalu.
Luqman Hakim (tengah) ketika memperkuatkan cabaran skuad Datuk Ong Kim Swee tahun lalu.
A
A
A

IMPIAN pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin untuk beraksi bersama KV Kortrijk kembali menyala selepas pemain Selangor 2 berusia 18 tahun itu mendapat restu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Menurut Persatuan Bolasepak Selangor (FAS): "Kami dengan ini secara rasmi mengesahkan bahawa persetujuan telah dicapai antara FAS dan KV Kortrijk untuk perpindahan Luqman Hakim dari Selangor.

“Luqman Hakim akan ke Belgium untuk bersama dengan KV Kortrijk selepas segala urusan dokumentasi telah diproses dan diluluskan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ada sebab nama tiada dalam senarai latihan pemain'

Pemilihan Luqman Hakim bukan 'tangkap muat'

“FAS percaya pendedahan di luar negara adalah apa yang diperlukan Luqman Hakim pada ketika ini untuk maju ke peringkat seterusnya dalam karier profesionalnya," kata FAS dalam satu kenyataan hari ini.

Luqman Hakim (kiri) kini sudah mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Luqman Hakim (kiri) kini sudah mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Pada masa sama FAS menegaskan badan induk bola sepak Selangor itu memahami betapa pentingnya usaha dalam memupuk bakat muda demi masa depan negara.

Artikel Berkaitan:

“Kami sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam membantu meningkatkan karier para pemain ini. Negara kita juga telah menyaksikan kelahiran pelbagai kisah kejayaan yang juga boleh dilihat sebagai bukti komitmen kelab ini yang selari dengan matlamat ini.

“Usaha menggilap potensi dimiliki pemain bukan hanya memerlukan latihan fizikal bagi meningkatkan kemahiran dan kemampuan di atas padang. Kami memahami nilai-nilai murni lain dalam kehidupan juga memainkan peranan penting dalam membentuk kematangan dan watak mereka di luar padang,” katanya.

Bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dari Kelantan itu sebelum ini dinobatkan antara bakat terbesar negara oleh Goal Malaysia dalam senarai NxGn 2020.

Luqman Hakim selain itu menjadi penjaring terbanyak Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 walaupun hanya bermain dua perlawanan dalam pertandingan ini.

Luqman Hakim juga turut memainkan peranan penting dalam membantu skuad Bawah 19 Tahun (B-19) pada Kejuaraan B-19 Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2019.