X

Kindly register in order to view this article
!

'Perkecil beban hutang 1MDB untuk kaburi mata rakyat'

Kegagalan untuk melakukan dan menyusun strategi kewangan jitu untuk menangani masalah 1MDB akan membawa kepada impak negatif yang serius kepada negara.
A
A

KUALA LUMPUR - Strategi memperkecilkan bebanan hutang kerajaan dalam kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh UMNO adalah bagi mengaburi mata rakyat terhadap impak kewangan besar ditinggalkan syarikat itu terhadap negara.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandang enteng isu ini, Malaysia akan mengalami kerugian melampau kerana bukan sahaja negara tidak akan mendapat balik AS$3.5 bilion yang 1MDB telah dibayar kepada syarikat IPIC seperti diakui oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat 1MDB, Arul Kanda tetapi negara mungkin terpaksa membayar pula AS$5.8 bilion kepada IPIC dan Abu Dhabi.

Menurutnya, kegagalan untuk melakukan dan menyusun strategi kewangan jitu untuk menangani masalah ini akan membawa kepada impak negatif yang serius kepada negara.

"Ini adalah liabiliti luar jangka dan sangat membebankan rakyat yang berjumlah RM25 bilion.

"Kerajaan PN seperti tidak ada jalan keluar dan mati akal bagaimana untuk membayar balik hutang-hutang 1MDB ini yang sebenarnya sudah mencecah hampir RM50 bilion dan mungkin boleh mencapai hingga lebih RM70 bilion akan datang. Siapa tahu?" katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Amiruddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, untuk gambaran terperinci, hutang syarikat 1MDB terbahagi kepada empat kluster besar di mana syarikat pelaburan ini telah meminjam dalam bentuk tiga bon pada tahun 2009 berjumlah AS$1 bilion tahun 2012 berjumlah AS$3.5 bilion dan tahun 2013 berjumlah AS$3 bilion.

Menurutnya, keseluruhan bon yang akan matang pada tahun 2022, 2023 dan 2039 adalah berjumlah AS$7.5 bilion bersamaan dengan RM32.25 bilion mengambil kira tukaran wang 1AS$ bersamaan RM4.30 buat masa ini.

"Perlu diingat bahawa kesemua bon ini mempunyai kadar kupon yang tinggi dari bon kerajaan yang biasa.

"Kadar kupon untuk ketiga-tiga bon adalah dalam lingkungan 4.44 peratus sehingga 5.99 peratus. Secara kasarnya, negara perlu membiayai sejumlah RM10.7 bilion untuk pembayaran kupon bon-bon tersebut.

"Jumlah pembayaran bon dan kupon sahaja sebenarnya sudah mencecah RM42.95 bilion berdasarkan nilai tukaran mata wang yang sama," katanya.

Amiruddin berkata, tanpa iltizam dan kesungguhan tinggi untuk menyelesaikan masalah ini seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, negara mungkin akan secara keseluruhannya rugi lebih dari RM70 bilion disebabkan oleh skandal 1MDB sahaja.

"Bukan Malaysia sahaja yang membicarakan soal ini tetapi dari Kuwait ke Thailand dan Switzerland rata-rata masih membicarakan skandal kewangan terbesar dunia ini.

"Perlukah kerajaan PN dan rakyat Malaysia melupakan skandal berprofil tinggi yang seperti ini?" katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus