Penduduk desak Jalan Anak Kurau-Kamunting disegerakan

Sebahagian penduduk menunjukkan jalan yang sudah diturap sejak 2017 tetapi belum disiapkan sepenuhnya.
Sebahagian penduduk menunjukkan jalan yang sudah diturap sejak 2017 tetapi belum disiapkan sepenuhnya.
A
A
A

BATU KURAU - Penduduk di Kampung Anak Kurau di sini mendesak kerajaan segera menyempurnakan projek Jalan Anak Kurau-Kamunting yang tertangguh sejak sekian lama bagi mengatasi kesesakan luar biasa di Pekan Batu Kurau.

Pertambahan kenderaan pada hujung minggu di sekitar Batu Kurau sejak akhir-akhir ini disebabkan durian yang menjadi tarikan utama di situ mula luruh.

Seorang penduduk, Zakaria Razali berkata, hasrat untuk membina jalan tersebut bermula pada tahun 1970 lagi ketika Datuk Seri Kamaruddin Mohamed Isa menjadi Menteri Besar Perak ketika itu, namun hanya dapat direalisasikan pada tahun 2017 membabitkan laluan sepanjang 11.2 kilometer (km) pada asalnya sebelum dipendekkan menjadi 9 km.

Katanya, bagaimanapun daripada 9km itu, hanya lebih 2km yang sudah diturap manakala bakinya masih belum bermula sehingga ke hari ini.

"Lama sangat kami menunggu jalan ini nak siap, dah lebih 50 tahun pun cuma sekerat sahaja yang siap, itu pun sekarang dah rosak jalan yang dah turap itu. Kalau siap jalan ini, tak adalah sesak masa musim durian macam ini.

"Tahun 2006, kita dah tubuh Jawatankuasa Bertindak Projek Jalan Anak Kurau-Kamunting ini. Saya salah seorang ahlinya malah ada beberapa ahli jawatankuasa ini yang dah meninggal tapi tak siap juga," katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan jalan tersebut di sini semalam.

Zakaria Razali
Zakaria Razali

Turut serta dalam lawatan tersebut, Ketua Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Bahagian Larut, Ahmad Hasbullah Elias dan Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Mohd Nasuha Mohd Hanafi, 72, berkata, sejak sekian lama penduduk menunggu janji untuk menyiapkan jalan tersebut kerana setiap kali pilihan raya berulang kali perkara itu dibangkitkan.

Katanya, pengundi seolah-olah 'digula-gulakan' oleh parti politik dengan pembinaan jalan tersebut tetapi setelah mereka menang, ia masih belum siap hingga ke hari ini.

"Bila pilihan raya, mereka janji nak buat, bila dah menang sampai sekarang tak siap-siap. Janganlah buli pengundi di sini. Mereka rasa teraniaya kerana jalan yang dijanji tak kunjung tiba.

"Saya minta percepatkan sahaja jalan ini, jangan sampai saya sendiri tak sempat nak lalu setelah sekian lama penduduk memperjuangkan isu ini," katanya.

Mohd Nasuha
Mohd Nasuha

Menurut Mohd Nasuha, dengan adanya jalan itu nanti bukan sahaja Pekan Batu Kurau tidak lagi sesak kerana terdapat jalan alternatif tetapi dapat menjimatkan masa dari Kamunting ke Batu Kurau dengan hanya 15 minit sahaja.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria yang dihubungi Sinar Harian memaklumkan bahawa projek tersebut masih diteruskan.

Katanya, projek tersebut tertangguh disebabkan masalah pengambilan tanah di sepanjang laluan tersebut.

Beliau berkata, setakat ini tiada tempoh masa ditetapkan untuk jalan tersebut disiapkan namun selepas selesai proses pengambilan tanah di kawasan itu projek akan segera disiapkan.