Ilham dari filem Tamil

Raveendran ikhlas tawarkan servis percuma buat wanita mengandung dan ibu yang membawa anak.
Raveendran ikhlas tawarkan servis percuma buat wanita mengandung dan ibu yang membawa anak.
A
A
A

SEREMBAN - Terinspirasi daripada sebuah filem Tamil yang ditonton ketika masih kecil, seorang pemandu teksi di daerah ini menawarkan perjalanan percuma kepada wanita mengandung atau ibu yang membawa anak kecil.

P Raveendran, 33, yang memandu teksi di daerah ini sejak empat tahun lalu telah pun menawarkan perkhidmatan itu kepada kira-kira 50 orang wanita tanpa mengira kaum sejak setahun lalu.

Menurutnya, sejak kecil dia mengimpikan untuk berbuat kebajikan seperti itu selepas menonton filem Baasha yang dibintangi Rajinikanth.

“Itu filem aksi. Tapi yang menarik perhatian saya bila nampak pelekat di belakang teksi motosikal roda tiga yang mengiklankan perjalanan percuma untuk wanita hampir bersalin.

“Daripada situ, saya menyimpan hasrat untuk buat perkara sama dan ia telah direalisasikan tahun lalu selepas pulang bercuti dari India,” katanya kepada Sinar Harian.

Meskipun ada rakan-rakan yang menganggapnya hilang akal kerana menawarkan servis percuma, namun Raveendran tidak mengendahkannya kerana beranggapan itu sebahagian sumbangannya kepada masyarakat.

Paling menggembirakannya apabila selepas sebulan menawarkan perkhidmatan itu, isterinya pula disahkan mengandung anak pertama yang kini sudah berusia lima bulan.

“Bulan Februari tahun lalu saya mula buat servis ini dan bulan Mac saya dapat khabar gembira isteri mengandung. Ia betul-betul jadi tuah buat kami.

Artikel Berkaitan:

“Malah isteri dan keluarga sangat menyokong apa yang saya buat,” katanya yang tinggal di Taman Permata di sini.<

Raveendran dan isterinya C Vanita, 29, bersama anak sulung yang baru dilahirkan.
Raveendran dan isterinya C Vanita, 29, bersama anak sulung yang baru dilahirkan.

Bekerja dari jam 7 pagi sehingga 7 malam, Raveendran kebiasaannya akan melakukan pusingan sebanyak tiga kali seminggu di unit bersalin di Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk menawarkan pertolongan sekiranya terdapat ibu hamil memerlukan pengangkutan.

Mengenai pengalamannya sepanjang membawa wanita mengandung, katanya, kebanyakan daripada mereka tidak kisah membayar tambang.

“Bila mereka mahu turun dari teksi saya beritahu tak perlu bayar, tapi mereka tetap mahu bayar kerana segan naik percuma.

“Tapi saya akan tolak dengan baik kerana saya sudah berniat mahu membantu. Lagipun saya gembira bila dapat tolong orang. Mungkin lain kali jika saya susah, ada orang lain yang boleh tolong saya,” katanya.

Paling tidak disangka apabila perkhidmatannya itu mendapat penghargaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran yang memberinya sagu hati wang tunai sebanyak RM500.