Tubuh jawatankuasa khas tangani pelajar keciciran

Abdul Aziz (kanan) bersama Ahli Majlis Daerah Lenggong, Sharifah Hazlina Syed Musa (kiri) melihat pelajar berkenaan.
Abdul Aziz (kanan) bersama Ahli Majlis Daerah Lenggong, Sharifah Hazlina Syed Musa (kiri) melihat pelajar berkenaan.
A
A
A

GERIK - Sebuah Jawatankuasa Khas menangani masalah keciciran pelajar tidak mempunyai dokumen pengenalan diri lengkap akan ditubuhkan Kerajaan Perak dalam masa terdekat.

Exco Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, jawatankuasa khas berkenaan bukan hanya melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sekolah tetapi juga pelbagai agensi dan jabatan lain berkaitan.

"Isu dan masalah yang cuba kita angkat ini melibatkan kewujudan masalah anak-anak atau pelajar yang tidak mempunyai dokumen lengkap untuk masuk ke sekolah di mana masalah ini melibatkan pelbagai kaum bukan satu kaum sahaja.

"Sebelum ini ada tanggapan bila sebut mereka yang tiada dokumen sah kebanyakkannya melibatkan kaum India sahaja tetapi dengan maklumat terperinci, saya dapati di Gerik ini melibatkan anak-anak kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melawat salah seorang pelajar tercicir di Sekolah Kebangsaan Ganda Temengor, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Aziz, masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri melibatkan anak tidak saf taraf dan ibu atau bapa bertaraf warganegara asing ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak demi masa depan pelajar terbabit.

"Masalah pelajar tidak boleh bersekolah kerana tiada dokumen pengenalan diri timbul apabila berlakunya masalah kahwin campur dengan bukan warganegara, nikah di sempadan, kemiskinan dan lain-lain lagi.

"Kita harap masalah ini dapat ditangani dengan lebih komprehensif di mana semua agensi terlibat dengan jawatankuasa khas ini yang akan kita gerakkan secepat mungkin," katanya.

Ditanya bila jawatankuasa khas berkenaan akan ditubuhkan, Abdul Aziz memaklumkan pihaknya akan memberi maklumat berkenaan kepada media apabila ia sudah ditubuhkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak dapat beri satu jangkamasa tepat, tetapi saya akan maklum kepada media apa yang kita buat. Saya fikir dalam terdekat kita akan mengutip semua fakta untuk media hebahkan," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Tahun Satu yang keciciran kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri lengkap mendaftar masuk di SK Ganda Temengor hari ini atas usaha dan inisiatif yang dilakukan pihak kerajaan negeri selepas menerima makluman statusnya.