X

Kindly register in order to view this article
!

Harga pasaran seunit alat pengimbas haba cecah RM7,000

Hanya satu saat tempoh masa diperlukan bagi menjalani pemeriksaan suhu badan menggunakan alat pengimbas haba berteknologi tinggi itu.
A
A

PUCHONG - Harga alat pengimbas haba berteknologi tinggi mencecah hampir RM7,000 seunit.

Menurut syarikat pengeluar alat berkenaan, Kiplepay Sdn Bhd, harga ditawarkan itu termasuk peralatan dan pemasangan selain menunjukkan cara penggunaan dan memberi latihan kepada pembeli.

Ketua Pegawai Operasi syarikat terbabit, Mike Lee berkata, hanya satu saat diperlukan bagi seorang individu untuk menjalani pemeriksaan suhu badan menggunakan alat pengimbas haba KipleLive Solution keluaran syarikatnya tersebut.

“Bagaimanapun, bagi kegunaan pihak sekolah, kita menawarkan harga promosi dan subsidi iaitu hanya RM3,500 bagi setiap unit.

“Alat ini bukan sahaja dapat membaca suhu badan, malah pengesanan identiti menerusi Face ID dapat merekodkan kehadiran guru dan pelajar terus ke dalam sistem,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan alat pengimbas haba itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Puchong Batu 14 di sini semalam.

Spesifikasi alat pengimbas haba yang dikeluarkan syarikat Kiplepay Sdn Bhd.
Spesifikasi alat pengimbas haba yang dikeluarkan syarikat Kiplepay Sdn Bhd.

Sementara itu, Mike berkata, bagi fasa pertama, peralatan berkenaan hanya boleh digunakan untuk pemeriksaan suhu dan merekodkan kehadiran pelajar, guru serta kakitangan sekolah.

Bagi fasa kedua, katanya, teknologi peralatan berkenaan boleh dipertingkatkan dan warga sekolah boleh melakukan urusniaga pembelian makanan di kantin tanpa tunai.

“Menerusi aplikasi itu, guru dan murid tidak perlu bawa wang tunai ke sekolah untuk berurus niaga di kantin.

“Mereka hanya perlukan Face ID yang akan diimbas menerusi skrin peralatan itu untuk beli makanan di kantin dan bayaran akan ditolak dari akaun e-dompet masing-masing,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus