Penoreh getah pakar jala

Antara koleksi jala yang disiapkan oleh Tajuddin.
Antara koleksi jala yang disiapkan oleh Tajuddin.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kemahiran dan kepakaran seorang penoreh getah menghasilkan jala karung yang mampu hanyut dengan cepat di dasar sungai, tasik atau kawasan berpaya menjadikan beliau popular dalam kalangan nelayan darat di negeri ini.

Tajuddin Awang, 48, atau lebih dikenali sebagai Din Jala berkata, jala jenis itu merupakan 'senjata' utama nelayan darat untuk mendapatkan hasil yang lebih banyak.

Bagaimanapun katanya, kecepatan turun ke dasar sungai bergantung kepada banyak dan jenis rantai yang digunakan sebagai pemberat bagi memastikan jala terbuka dengan baik ketika ditebarkan.

"Itulah yang membezakan jumlah tangkapan nelayan setiap kali mereka turun menjala," katanya yang menetap di Kampung Tersang di sini.

Tajuddin sedang menyiapkan jala yang ditempah oleh pelanggan di rumahnya di Kampung Tersang.
Tajuddin sedang menyiapkan jala yang ditempah oleh pelanggan di rumahnya di Kampung Tersang.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, beliau mahir membuat jala seawal usia 13 tahun selepas mendapat ilmu daripada arwah bapanya, Awang Senik yang merupakan seorang pakar mengait jala di kampungnya.

Berkongsi harga jalanya, Din Jala memberitahu, serawan jala yang sudah siap sepanjang tiga meter dijual pada harga serendah RM300.

Katanya, tugas menyiapkan tempahan akan dilakukan pada sebelah petang kerana punca pendapatan utama beliau ialah menoreh getah.

Artikel Berkaitan:

"Selain nelayan darat dari Rantau Panjang, tempahan turut diterima dari Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah.

"Mereka sanggup datang dari jauh semata-mata inginkan hasil kemahiran saya. Ada yang berseloroh, nelayan cari penoreh untuk dapatkan jala terbaik," katanya.