Jersi 'ciplak' seludup laris

Penguat kuasa KPDNHEP sedang melakukan operasi ke atas premis yang dikesan menjual jersi tiruan.
Penguat kuasa KPDNHEP sedang melakukan operasi ke atas premis yang dikesan menjual jersi tiruan.
A
A
A

JERSI tiruan yang berada di pasaran menjadi pilihan peminat sukan bola sepak bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia.

Ini kerana selain harganya yang murah, jersi tiruan boleh didapati dengan mudah.

Bagaimanapun, siapa sangka jersi tiruan berjenama yang dibeli pengguna serta peminat bola sepak sebenarnya menyumbang kepada sindiket penyeludupan yang akhirnya menyebabkan tuan punya cap dagang gulung tikar.

Isu jersi tiruan bukan sahaja menghantui syarikat pengeluar malah pengguna sering tertipu kerana tidak dapat membezakan antara yang asli dan ciplak.

Penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan barang tiruan terus dipertingkat dan hasil serbuan yang dilaksanakan KPDNHEP sebelum ini berjaya merampas jersi ciplak yang harganya mencecah ribuan ringgit.

Jersi tiruan yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jersi tiruan yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Diseludup dari China

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya mengesan kegiatan sindiket tersebut yang bergerak dengan menggunakan pelbagai modus operandi bagi menyukarkan kegiatan mereka dikesan pihaknya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hari ini, antara modus operandi ialah jualan di gerai-gerai terbuka seperti di stadium sepanjang tempoh liga berlangsung sama ada Piala Malaysia, Liga Perdana atau juga Liga Super.

"Hasil risikan mendapati peniaga kebanyakannya memulakan operasi bermula dari jam 12 tengah hari sehingga perlawanan liga bermula.

"Bagi mengesan kehadiran anggota KPDNHEP, terdapat tonto di setiap laluan masuk ke stadium. Ini bertujuan sebagai penyalur maklumat kepada peniaga sekiranya pihak berkuasa membuat serbuan.

"Khidmat tonto ini juga sering digunakan di pasar malam dan pasar pagi. Tonto akan berada di sekitar kawasan tapak niaga untuk memberi maklumat," katanya kepada Sinar Harian.

Muhamad Zikril
Muhamad Zikril

Ketika ditanya bagaimana jersi tiruan itu dibawa masuk dalam negara, Muhamad Zikril mendedahkan, kebanyakan barangan tersebut dibawa masuk dari negara China kerana kos pembuatan yang rendah.

Kaedah melalui import adalah melalui laut dengan menggunakan kontena.

Tambahnya, sindiket akan mengisytiharkan barangan tersebut sebagai barangan yang sah.

Hakikatnya sindiket menyeludup masuk jersi tiruan supaya tidak dikesan oleh pihak berkuasa.

"Selain menjualnya di pekarangan stadium, pasar malam dan pasar pagi, jersi-jersi tiruan yang dibawa masuk ini juga dijual di kawasan tumpuan iaitu uptown dan beberapa pusat beli-belah," katanya.

Selain itu, sindiket juga sanggup menggunakan khidmat warga asing untuk menjalankan perniagaan tersebut.

Ini bertujuan agar pergerakan mereka sukar dikesan atau dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Muhamad Zikril, ada warga asing yang diupah untuk menjalan perniagaan jersi tiruan namun pihaknya akan menyiasat dan tindakan tegas akan diambil.

"Tindakan itu misalnya dengan membekukan akaun dan harta di bawah undang-undang Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2011," katanya.

Menurutnya lagi, dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membanteras kegiatan barangan tiruan, KPDNHEP sentiasa memantau dan memastikan tiada isu penyelewengan dilakukan anggota dan pegawainya.

"Buat masa ini tiada laporan diterima membabitkan isu rasuah kerana mahu melindungi sindiket ini. Bahagian penguatkuasa KPDNHEP khususnya Selangor menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berdedikasi.

Buktinya banyak kes sindiket penjualan barang tiruan berjaya dibanteras sejak dahulu hingga sekarang.

"Sudah pasti sukar untuk kita banteras 100 peratus berkaitan barang tiruan ini kerana kekurangan anggota selain KPDNHEP menguatkuasakan 11 akta yang lain dan sama pentingnya untuk melindungi pengguna," katanya.

Tiada kompromi.

Menjawab dakwaan bahawa kononnya pihak KPDNHEP hanya mengambil tindakan ke atas premis-premis kecil seperti di bazar malam dan sebagainya, Muhamad Zikril menegaskan, tindakan tetap diambil secara menyeluruh termasuk di dalam pusat membeli-belah.

Menurutnya, ada butik dalam pusat membeli-belah terkemuka juga dikesan menipu pelanggan dengan menjual jersi tiruan.

"KPDNHEP Selangor tidak hanya mengambil tindakan kepada premis kecil sahaja, sebaliknya tindakan juga diambil ke atas mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan.

"Kita amat serius dalam hal ini tidak kira premis tersebut berada di pasar malam mahupun di pasar raya besar," katanya.

Antara jersi yang dirampas dalam operasi dijalankan KPDNHEP.
Antara jersi yang dirampas dalam operasi dijalankan KPDNHEP.

Beliau turut memberi amaran supaya sindiket dan peniaga yang menjalankan perniagaan jersi tiruan supaya beralih kepada perniagaan berjenama asli atau mengalihkan perniagaan lain bagi mengelakkan tindakan yang lebih drastik atau keras di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

"Sekiranya didapati bersalah, suspek terlibat boleh ditangkap tanpa waran dan boleh dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 dengan membekukan atau merampas harta dan wang simpanan yang dimiliki hasil kegiatan tersebut," katanya.

Statistik rampasan jersi tiruan di Selangor

Tahun 2018

Jumlah kes - 12

Nilai rampasan - RM382,506

Tahun 2019

Jumlah kes - 6

Nilai rampasan - RM681,105