X

Kindly register in order to view this article
!

PATI dicekup ketika tunggu kehadiran tekong

A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 84 warga Indonesia termasuk 17 wanita dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di kawasan paya bakau di Kuala Selangor awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, kesemua yang ditahan berusia 19 hingga 60 tahun itu dipercayai sedang menunggu kehadiran tekong untuk membawa mereka menyeberangi sempadan negara.

Menurut sumber, serbuan itu dijalankan oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih menerusi Ops Benteng.

"Seramai 22 warga asing didapati tidak memiliki pasport, selebihnya pula dipercayai dokumen perjalanan mereka sudah tamat tempoh," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung penangkapan warga Indonesia terbabit.

"Buat masa ini, mereka ditahan untuk saringan kesihatan Covid-19 sebagai tindakan susulan.

"Kita akan menyerahkan mana-mana warga Indonesia yang didapati negatif Covid-19 kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut, manakala mereka yang dikesan positif Covid-19 akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus