Bahasa baku dan generasiku

A
A
A

PEMBAKUAN bahasa Melayu dan bahasa Indonesia berlaku pada awal dasawarsa 1970-an sewaktu generasi saya melangkah masuk ke pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Ramai pelajar Malaysia di luar negara tidak dapat mengikuti perkembangan ini secara dekat lantaran dua sebab.

Sebab pertama ialah kemangkiran (absence) media sosial yang hanya muncul secara aktif dua dasawarsa kemudian. Maka penyampaian berita amat lambat. Ia banyak bergantung kepada surat khabar dan penghantaran berita menerusi mesin faksimile. Pelajar luar negara manakah masa itu yang berminat untuk mengetahui pekembangan pembakuan bahasa dengan menelefon keluarga atau mana-mana editor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari seberang laut? Setahu saya tiada kerana bayaran panggilan telefon antara Malaysia dengan negara luar adalah mahal harganya.

Sebab kedua ialah tidak ramai, jika ada, pelajar Malaysia di luar negara yang berminat untuk mengikuti perkembangan pembakuan kedua-dua bahasa ini. Sementara itu, kerjasama antara Indonesia dengan Malaysia dan Brunei terus ditingkatkan dalam usaha berat pembakuan bahasa itu.

Pada awal tahun 1973 bila saya menghantar melalui pos makalah saya kepada Dewan Masyarakat, majalah tersohor terbitan DBP, saya sedang mengikuti kursus perubatan di Universiti Kaherah, Mesir. Pembakuan bahasa Melayu sudah berjalan dengan begitu lancar.

Namun istilah catalyst belum diterjemahkan lagi. Istilah psychology masih dieja sebagai ‘saikoloji’ dan bukan psikologi seperti sekarang. Dengan penuh semangat saya telah menghantar makalah kedua pada tahun sama tetapi tidak diterima oleh editor Dewan Masyarakat yang meminta saya membuat suntingan secara besar-besaran.

Oleh kerana saya tidak boleh memberi keutamaan kepada draf makalah itu, maka makalah saya ‘Keperluan Seimbang’ menjadi makalah tunggal saya dalam Dewan Masyarakat selama 45 tahun. Dengan izin Tuhan pada bulan Oktober tahun 2018 makalah kedua saya diterima untuk diterbitkan dalam Dewan Masyarakat. Kini penulisan saya diterbitkan setiap bulan di bawah kolum Santunan Bung Hatta majalah tersebut.

Pengalaman

Alhamdulillah banyak yang saya pelajari dan hayati sejak tahun-tahun 1980-an hinggalah hari ini tentang penggunaan bahasa Melayu baku. Kesemua Kamus Dewan sejak zaman baku itu telah saya beli dan gunakan termasuk kedua-dua kamus dwibahasa Inggeris-Melayu.

Artikel Berkaitan:

Berkat mengikuti kursus pascasiswazah Psikiatri Klinikal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mengajar di universiti itu selama sekitar 21 tahun (1984-2005), saya sempat mendalami selok-belok penggunaan bahasa Melayu akademik. Ilmu ini saya terus saya hayati semasa saya dilantik sebagai profesor adjung psikiatri di UKM selama dua tahun.

Sempat juga saya bersahabat dengan pakar-pakar bahasa UKM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan mengikuti beberapa kursus penulisan seperti kursus penataran bahasa Melayu. Menerusi pengalaman berharga inilah saya berpeluang menulis sekitar 40 buah buku besar dan kecil dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu (sebagai penulis tunggal dan penulis bersama).

Sering kali semasa mengajar pelajar perubatan serta pelatih pascasiswazah psikiatri, saya berkata bahawa saya bukan sahaja mengajar psikiatri prasiswazah dan pascasiswazah, tetapi juga penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang betul.

Kepada pelajar-pelajar, saya jelaskan bahawa bahasa Jepun telah dibakukan sekitar 300 tahun dulu. Bahasa Inggeris dibakukan sejak 400 tahun dulu khususnya pada zaman William Shakespeare dan Ratu Elizabeth I. Bahasa Arab pula telah baku dengan tanzilnya kitab suci al-Quran. Ia terus berkembang menjadi bahasa antarabangsa pada zaman Rasulullah SAW.

Di Nusantara pula, perlahan-perlahan ia dapat menandingi bahasa Sansekerta (Sanskrit) dalam mempengaruhi bahasa Melayu. Ini berlaku dalam bidang penulisan, ekspresi serta penghayatan agama yang menjadi agama dominan di Nusantara, yakni agama Islam.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penggiat masyarakat dan ahli Akademi Profesor Malaysia