Sebahagian hasil cukai jalan dicadang baiki Jalan Persekutuan

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rundingan sedang dijalankan bagi memasukkan sebahagian hasil cukai jalan bagi kenderaan ke dalam satu peruntukan khas bagi membaiki kerosakan Jalan Persekutuan di seluruh negara, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Infrastruktur berkata, ini merupakan antara cadangan yang diketengahkan melalui rundingan bersama Kementerian Pengangkutan bagi menyelesaikan masalah berkenaan yang disebabkan kenderaan lebih muatan.

Beliau berkata sehingga kini, hasil daripada cukai jalan kenderaan dimasukkan ke dalam kumpulan wang disatukan di bawah Kementerian Kewangan untuk tujuan pembangunan termasuk bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan yang disediakan melalui bajet mengurus (OE) kerajaan.

“Bagaimanapun, peruntukan penyelenggaraan jalan sedia ada yang diterima daripada kumpulan wang disatukan adalah tidak mencukupi.

"Justeru, Kementerian Kerja Raya mencadangkan supaya peratusan tertentu daripada cukai jalan dimasukkan ke dalam akaun amanah untuk tujuan penyelenggaraan jalan,” katanya kepada Bernama.

Cadangan berkenaan dibangkitkannya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Kontraktor Penyiap kepada 39 kontraktor di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan majlis Aku Janji Zero Potholes yang merupakan inisiatif Jabatan Kerja Raya dan enam syarikat konsesi bagi Jalan Persekutuan untuk memperkukuhkan lagi komitmen kementerian terhadap penyampaian perkhidmatan penyelenggaraan jalan.

Fadillah berkata, kerosakan selain daripada akibat kerja-kerja pembaikan utiliti sukar dipastikan siapa penyebabnya.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kerja-kerja utiliti memang mereka kena letakkan deposit kepada Jabatan Kerja Raya, kita akan baik pulih guna deposit itu ataupun sehingga kerja-kerja itu dibaik pulih oleh kontraktor dan mematuhi standard, JKR berpuas hati baru kita kembalikan deposit.

“Tetapi selain daripada utiliti ini, payah sikit kita nak kenal pasti punca siapa sebabkan kerosakan, sama ada lori atau sebagainya ini satu perkara agak rumit dari segi tuntutan,” katanya.

Katanya, melalui program ‘zero potholes’ (sifar jalan berlubang) yang dilancarkan sejak 2016 lagi, pihaknya komited menyelesaikan masalah jalan berlubang dalam tempoh 24 jam daripada penemuan atau aduan bagi pembaikan sementara ataupun dalam masa tiga hari bagi pembaikan kekal.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jawatankuasa Teknikal mengenai Perjanjian Malaysia 1963 telah mengadakan mesyuarat selama tiga hari baru-baru ini dan memuktamadkan beberapa perkara mengenai kerjasama Sarawak dan Petronas.

Ini katanya termasuk, pihak mana yang bertanggungjawab membuat eksplorasi dan mengetuai operasi pencarian minyak dan gas di darat dan luar pesisir Sarawak.- Bernama