Dapatkan nasihat bank sebelum tempoh moratorium tamat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mereka yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman mereka apabila moratorium berakhir pada 30 September ini untuk berbincang dan mendapatkan nasihat daripada bank mereka.

Wakilnya, Mohd Zaini Aris berkata, peminjam perlu merancang strategi pembayaran balik pinjaman yang berdaya maju dari sekarang untuk meringankan beban obligasi mereka dan mengelak kegagalan pembayaran balik pinjaman.

“Peminjam perlu bersedia dari segi obligasi kewangan dan mental serta tidak perlu menunggu untuk mendapatkan nasihat daripada bank mereka.

“Jika mereka tidak bersedia, mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk menyediakan dokumentasi (yang diperlukan) untuk berbincang dengan bank berikutan ia memerlukan masa,” katanya pada sesi webinar bertemakan 'Penjadualan Semula dan Penstrukturan Semula (R&R) Pinjaman' anjuran Bank Negara Malaysia hari ini.

Mengenai R&R, Mohd Zaini yang juga Ketua Kewangan Pengguna Malayan Banking Berhad (Maybank) berkata, tujuannya untuk membantu peminjam meneruskan perniagaan mereka.

“Biasanya, bank akan membantu jika rekod baik dan perniagaan masih berjalan. Selagi tiada tindakan undang-undang, (bank) akan cuba membantu tetapi tertakluk kepada kelayakan,” katanya.

Mohd Zaini bagaimanapun menolak persepsi awam bahawa sukar untuk mendapatkan pinjaman baharu apabila menerima R&R.

Beliau berkata, bagi pinjaman berbayar, R&R tidak akan menjejaskan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) berikutan ia akan diselaraskan dan disusun semula.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, katanya, bagi pinjaman tidak berbayar, selepas pinjaman distruktur semula, tempoh pemantauan selama enam bulan akan dilaksanakan sebelum rekod itu dikeluarkan daripada CCRIS.

“Peminjam tidak perlu bimbang untuk berbincang dengan bank mereka dan perlu melihat kepada jangka panjang. Walaupun jika R&R ditolak, kami masih mempunyai banyak cara untuk membantu pelanggan kami dan akan menelitinya kes demi kes dan bukan secara menyeluruh.

“Datang dan berbincang dengan kami berikutan kami dapat memberi nasihat mengenai cara terbaik untuk menguruskan aliran tunai anda supaya anda dapat merancang cara yang terbaik untuk terus maju,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (Peniagawati), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi berkata, ramai usahawan mikro dan PKS terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memerangi pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pembukaan perniagaan secara berperingkat memberi kesukaran kepada usahawan untuk memohon R&R dan menyatakan kes mereka.

“Bagi mendapatkan R&R, (mereka) perlu mampan dan mempunyai aliran tunai. Secara logiknya buat masa ini, bagi usahawan, mereka tidak dapat menjawab dua soalan ini berikutan keadaan masih tidak menentu,” katanya.

Katanya, Peniagawati berharap bank dapat membuat penilaian secara menyeluruh untuk membantu usahawan mikro dan PKS yang menghadapi masalah untuk membuat pembayaran balik pinjaman selepas tempoh moratorium tamat.

Beliau menyifatkan pelaksanaan PKP untuk memerangi pandemik tersebut sebagai kesedaran kepada semua usahawan yang tidak serius dari segi dokumentasi perniagaan dan tadbir urus yang baik.

“Ramai yang terlepas manfaat seperti pinjaman dan geran di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berikutan mereka tidak berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Sesuatu yang baik kita belajar daripada cara yang sukar. Bagaimanapun, memandangkan kita dalam hala tuju yang betul untuk menjadi negara maju, kita tidak boleh mempunyai usahawan yang tidak dapat menyediakan dokumen kewangan kepada bank. Kita perlu terus mendidik mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa bank untuk mempertimbangkan menangguhkan tindakan undang-undang pada masa ini untuk membantu usahawan yang menghadapi kesukaran.

“Kami turut berharap Akta Covid-19 akan berkuat kuasa dan memberi bantuan sementara kepada mereka yang terjejas oleh pandemik tersebut dan tidak dapat memenuhi kontrak mereka. Ini akan banyak membantu,” katanya.

Setakat 19 Jun 2020, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM47.5 bilion sejak ia berkuat kuasa pada 1 April 2020.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala jumlah dimanfaatkan rakyat bernilai RM30.9 bilion melalui pinjaman yang layak mendapat moratorium oleh institusi kewangan.- Bernama