[VIDEO] Negara tegar buat pilihan raya semasa pandemik Covid-19

Beberapa pegawai pilihan raya memakai pakaian pelindung diri bagi mengelak jangkitan pandemik Covid-19 di Gyeongju, Korea Selatan baru-baru ini.- AFP
Beberapa pegawai pilihan raya memakai pakaian pelindung diri bagi mengelak jangkitan pandemik Covid-19 di Gyeongju, Korea Selatan baru-baru ini.- AFP
A
A
A

Korea Selatan menjadi negara pertama melaksanakan pilihan raya parlimen ketika pandemik koronavirus (Covid-19) melanda dunia.

Parti pemerintah, Parti Demokratik pimpinan Presiden Moon Jae-in dan parti sekutunya, Parti Platform memenangi 180 daripada 300 kerusi pilihan raya parlimen pada 15 April lalu.

Dalam pilihan raya itu, lebih 17 juta penduduk Korea Selatan telah mengundi dengan langkah-langkah keselamatan turut diperkenalkan bagi menangani penyebaran pandemik Covid-19.

Suhu badan para pengundi diperiksa semasa ketibaan dan mereka perlu memakai pelitup muka serta sarung tangan.

Korea Selatan ketika itu berusaha menangani pandemik Covid-19 yang dilaporkan mempunyai lebih 10,000 kes yang disahkan dan mempunyai 51 juta penduduk.

Mana-mana pengundi yang mempunyai suhu lebih 37.5 Celsius akan dibawa ke booth khas pada pilihan raya itu.

Semua pengundi perlu menggunakan pembersih tangan dan sarung tangan plastik semasa mengundi selain perlu mengekalkan jarak dengan orang ramai sejauh satu meter di pusat-pusat pengundian.

Agensi Kawalan dan Penghalang Penyakit Korea melaporkan pada 14 April lalu, sebanyak 27 kes baharu Covid-19 dilaporkan dengan jumlah jangkitan ialah 10,564 kes.

Artikel Berkaitan:

Lebih 11,150 pengundi yang dikuarantin di rumah masing-masing secara rasmi diringi atau dipantau melalui aplikasi pengesan ketika mereka mengundi lewat daripada pengundi lain.

Para pekerja yang memakai pakaian pelindung diri menyahkumankan petak mengundi setiap kali selepas pengundian.

Para pengundi yang diasingkan atau dikuarantinkan dibenarkan mengundi melalui e-mel atau pusat pengundian sementara yang dibuka lebih awal.

Pembangkang boikot

Sementara itu, portal berita Deutsche Welle pada 21 Jun lalu melaporkan, kira-kira 6.5 juta pengundi yang layak memilih 250 anggota parlimen Serbia dalam pilihan raya kebangsaan yang pertama kali diadakan ketika pandemik Covid-19 pada 19 Jun lalu.

Pilihan raya Parlimen itu yang dijadualkan diadakan pada 26 April lalu terpaksa ditunda kerana pandemik Covid-19 telah mencatatkan 48 peratus pengundi keluar mengundi berbanding 56.7 peratus pada pilihan raya tahun 2016.

Bagaimanapun, pelitup muka, penggunaan pembersih tangan disediakan di pusat-pusat pengundian termasuk penjarakkan sosial turut diamalkan.

Pada hari pengundian, pihak berkuasa melaporkan 91 kes jangkitan dan seorang pesakit terkorban menjadikan jumlah kematian kepada 261 orang.

Pilihan raya itu juga menyaksikan parti pemerintah, Parti Progresif Serbia yang dipimpin pemimpinnya, Presiden Aleksander Vucic mendapat majoriti di Parlimen dengan memperoleh 63.4 peratus undi, lapor agensi berita TASS pada 23 Jun lalu.

Bagaimanapun, parti pembangkang memboikot pilihan raya itu selain pandemik Covid-19 menyebabkan ramai pengundi takut keluar mengundi.

Pengundi memakai pelitup muka di pusat pengundian di Gracanica, Serbia baru-baru ini. - Foto AFP
Pengundi memakai pelitup muka di pusat pengundian di Gracanica, Serbia baru-baru ini. - Foto AFP

Dalam pada itu, Poland turut mengadakan pengundian bagi memilih presiden untuk penggal lima tahun baru-baru ini.

Pilihan Raya Presiden negara itu sepatutnya diadakan pada 10 Mei lalu tetapi ditangguhkan kepada 28 Jun lalu berikutan pandemik Covid-19.

Pengundi mempunyai pilihan sama ada mengundi melalui pos atau ke pusat pengundian.

Pusat-pusat pengundian dibuka dari pukul 7 pagi hingga 9 malam dalam pusingan pertama pilihan raya itu dengan penyandang jawatan iaitu Presiden Andrej Duda, 48, yang disokong Parti Keadilan Undang-Undang menduduki tempat pertama.

Pengundi-pengundi memakai pelitup muka dan berbaris dengan mengekalkan jarak sosial di pusat-pusat pengundian.

Agensi berita AFP melaporkan pada 29 Jun lalu, terdapat lebih 33,000 kes dan lebih 1,400 kematian akibat pandemik Covid-19 di negara yang mempunyai 38 juta penduduk itu.

Hadiah di pusat undi

Dalam pada itu, Rusia turut mengadakan undian dalam kalangan rakyatnya berhubung pindaan perlembagaan termasuk sama ada membenarkan Presiden, Vladimir Putin bertanding semula untuk penggal pemerintahan yang seterusnya sekali gus berpontensi mengetuai negara itu sehingga 2036.

Undian bermula dari 25 Jun hingga 1 Julai bagi mengelakkan perhimpunan ramai di pusat-pusat pengundian dan menjauhi risiko penyebaran Covid-19, kata Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Rusia dalam satu kenyataan.

Dalam bilik dewan pengundian, pembersih tangan dan pelitup muka digunakan bagi mengelak penyebaran pandemik.

Negara itu mempunyai penduduk seramai 145,934,462 orang dan kira-kira 110 juta pengundi.

Pegawai pilihan raya membawa beg berisi kertas undi di Rusia. - AFP
Pegawai pilihan raya membawa beg berisi kertas undi di Rusia. - AFP

Sebelum ini, Rusia menangguhkan undian itu yang sepatutnya dijadualkan pada 22 April lalu dengan pusat-pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi hingga 8 malam waktu tempatan.

Beberapa hadiah menarik ditawarkan kepada pengundi supaya keluar mengundi antaranya kereta, apartmen dan token hadiah selain membawa warga Rusia di Ukraine menaiki bas untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Di bandar Moscow dan Nizhny Novgorod, pengundian secara elektronik dibenarkan kerana kedua-duanya mempunyai jumlah bilangan terbesar pengundi.

Para pekerja juga meletakkan peti-peti undi di taman kanak-kanak, halaman-halaman, bonet kereta dan tunggul pokok yang besar dalam undian pindaan perlembagaan itu.

Hampir 78 peratus pengundi menyokong pindaan perlembagaan yang antara lain menyentuh perlindungan institusi perkahwinan antara lelaki dan wanita, pencen, gaji minima dan layanan lebih bertanggungjawab terhadap haiwan.

Dalam pada itu, Singapura menjadi negara terbaru yang bakal mengadakan pilihan raya umum selepas Perdana Menterinya mengumumkan pembubaran Parlimen. Republik itu dijangka mengadakan pemilihan pada 10 Julai nanti. - Agensi