X

Kindly register in order to view this article
!

Projek KT-ByPass diteruskan selepas isu bayaran pampasan selesai

Ahmad Amzad (tengah) ketika melakukan lawatan ke tapak projek KT-ByPass di Jalan Tok Molor, Tok Adis Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Foto: UPDI.
A
A

KUALA TERENGGANU - Pembinaan Projek Kuala Terengganu (KT) ByPass yang tergendala kerana masalah bayaran pampasan pemilik tanah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu telah selesai.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, sebelum ini projek itu terhenti sementara disebabkan isu pemilik tanah yang tidak berpuas hati dengan kadar bayaran pampasan yang diberikan.

“Projek yang tergendala itu kini boleh disambung semula setelah beberapa isu berkaitan dapat diselesaikan dengan baik malah keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga membolehkan projek ini diteruskan semula.

“Hasil rundingan dan perbincangan semula, jajaran KT-Bypass ini dibuat mengikut perancangan asalnya.

“Kita juga berterima kasih kepada semua pihak terutama kerajaan Terengganu yang prihatin dengan masalah dan isu yang diutarakan dalam kalangan pemilik tanah sebelum ini,” katanya memetik laporan portal rasmi kerajaan negeri hari ini.

Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, projek itu penting kerana dapat menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik di bandar Kuala Terengganu dan berharap supaya pembinaan projek itu tidak mengabaikan aspek kualiti.

“Projek ini memberi impak terhadap penduduk di sini kerana ia membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Kuala Terengganu. Sebab itu, saya minta supaya projek ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan disiapkan.

“Dalam masa sama, saya harap supaya ia tidak mengabaikan aspek kualiti serta mengutamakan aspek keselamatan pengguna selain mencapai standard yang ditetapkan,” katanya.

Ahmad Amzad berkata, jajaran projek itu melibatkan pembinaan laluan sepanjang 5.875 kilometer bermula dari persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) hingga ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bharu-Kuala Terengganu.

"Secara keseluruhan, projek berkenaan menelan belanja sebanyak RM321 juta termasuk RM167 juta merupakan kos kontrak manakala RM154 juta pula bagi kos pengambilan 293 lot tanah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus