X

Kindly register in order to view this article
!

KKM terus lakukan ujian saringan terhadap institusi tahfiz

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus melakukan ujian saringan koronavirus (Covid-19) terhadap kakitangan dan pelajar tahfiz di sekolah milik persendirian dan tidak berdaftar dengan kerajaan menjelang pembukaan semula institusi itu pertengahan bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan Covid-19 akan dilakukan secara berperingkat.

"Sekolah tahfiz merupakan antara tumpuan KKM dalam memerangi pandemik Covid-19," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau menyarankan institusi tahfiz mendaftar dengan pihak berkenaan bagi membolehkan aktiviti pengesanan dilakukan.

"KKM sangat mengalu-alukan institusi tahfiz mendaftarkan sekolah mereka," katanya.

Insititusi tahfiz disenaraikan salah satu kluster jangkitan Covid-19 di negara ini selepas beberapa kes positif membabitkan pelajar dan kakitangannya dikesan KKM.

Sementara itu, mengulas mengenai fi ujian saringan Covid-19, beliau berkata, bayaran hanya dikenakan terhadap individu dari luar negara yang memasuki Malaysia dan mereka yang mahu melakukan ujian saringan.

"Bayaran akan ditanggung KKM jika individu tersebut diletakkan di bawah pemantauan, pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan Influenza Like Illness (ILI) serta jika dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di suatu kawasan," katanya.

Sebelum ini kerajaan menetapkan fi bagi ujian saringan Covid-19 sekitar RM30 dan RM150 bagi rakyat tempatan manakala sehingga RM250 terhadap warga asing.

Ditanya mengenai keputusan Sabah yang membenarkan pekerja asing dari China memasuki negara itu berkuat kuasa serta-merta, Dr Noor Hisham berkata, kemasukan itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM.

"Sebelum mereka masuk, perlu melakukan ujian calitan dan sebaik tiba pekerja asing terbabit perlu menjalani kuarantin 14 hari," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus