JKNS rampas 77,938 botol pensanitasi tangan

Pensanitasi tangan pelbagai jenama bernilai RM773,092 dirampas di Sabah kerana tiada notifikasi daripada Kementerian Kesihatan (KKM). - Foto hiasan 123RF
Pensanitasi tangan pelbagai jenama bernilai RM773,092 dirampas di Sabah kerana tiada notifikasi daripada Kementerian Kesihatan (KKM). - Foto hiasan 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Sabah merampas sebanyak 77,938 botol pensanitasi tangan pelbagai jenama bernilai RM773,092 kerana tidak bernotifikasi daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengarah JKNS, Datuk Dr Christina Rundi berkata, rampasan berkenaan melibatkan 20 serbuan di daerah Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Ranau, Keningau, Sandakan dan Tawau pada 25 dan 26 Jun lepas.

"Penjualan produk kosmetik tidak bernotifikasi adalah merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Iklan produk dengan tuntutan perubatan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat merupakan satu pelanggaran di bawah Seksyen 4B, Akta Ubat (Iklan & Penjualan 1956)," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau menasihatkan agar orang awam tidak membeli dan menggunakan pensanitasi tangan yang tidak bernotifikasi daripada KKM.

"Semua produk pensanitasi tangan perlu bernotifikasi dengan KKM sebelum dipasarkan di Malaysia untuk memastikan ianya berkualiti dan selamat digunakan.

"JKNS memandang serius ke atas penjualan pensanitasi tangan tidak bernotifikasi ketika negara berdepan dengan wabak pandemik koronavirus (Covid-19)," tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: