SIC sudah sedia anjur sukan permotoran

Reezal Merican bergambar bersama Mohamed Azman dan Azhan Shafriman serta para pelumba negara di SIC hari ini.
Reezal Merican bergambar bersama Mohamed Azman dan Azhan Shafriman serta para pelumba negara di SIC hari ini.
A
A
A

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah bersedia untuk menganjurkan sebarang aktiviti sukan permotoran dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, SIC telah melakukan persiapan cukup teliti dan terperinci mengikut tatacara pematuhan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), antara termasuk senarai dilarang adalah penganjuran sukan kerana ia membabitkan perhimpunan berskala besar.

"Semua sukan tanpa kontak seperti permotoran, sukan yang boleh diberi pertimbangan namun pihak KKM dan MKN perlu diyakinkan.

“Secara peribadi, saya optimis penganjuran sukan permotoran yang sememangnya diadakan secara berprestij di SIC akan kembali selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri,” katanya selepas mengadakan sesi lawatan di SIC hari ini.

Hadir sama, Pengerusi SIC, Tan Sri Mohamed Azman Yahya.

Rabu lepas, Reezal Merican memaklumkan bahawa beliau akan membawa cadangan memberi kelonggaran bagi semua pasukan mengadakan latihan secara kontak penuh pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 9 Julai ini.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, fokus utama kini adalah tertumpu kepada penganjuran sukan permotoran di peringkat domestik sebelum memuktamadkan mengenai status penganjuran antarabangsa termasuk perlumbaan MotoGP.

Artikel Berkaitan:

“Kami lakukannya secara berperingkat, pada waktu ini saya hendak minta dulu penganjuran di peringkat domestik. Soal kawalan sempadan bukan di bawah saya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya bersama Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) mengambil masa lebih sebulan untuk menyiapkan SOP berkenaan.

“Hasil lawatan hari ini kami terima maklum balas yang positif daripada menteri. SOP kita sangat teliti jadi harapan saya supaya sukan permotoran terutama bahagian kejohanan dapat dilakukan secepat mungkin,” katanya. - Bernama