40 peratus pelajar di Perak sukar ikuti PdP dalam talian

Razman ketika meninjau sesi pembelajaran prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Pulai hari ini.
Razman ketika meninjau sesi pembelajaran prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Pulai hari ini.
A
A
A

GOPENG - Hampir 40 peratus pelajar sekolah di Perak tidak mempunyai keupayaan capaian internet menyebabkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian sukar dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria berkata, data menunjukkan, keupayaan capaian internet tinggi hanya dapat diakses sekitar 50 ke 60 peratus pelajar.

Bagaimanapun menurutnya, keadaan itu tidak menjadi halangan untuk mereka meneruskan sesi pembelajaran di rumah apabila sekolah terlibat khususnya di kawasan luar bandar menggunakan kaedah lain yang lebih bersesuaian termasuk mengedarkan sendiri nota latihan ke rumah pelajar.

"Walaupun tiada arahan khusus berkaitan perkara ini, tetapi boleh dikatakan hampir semua guru yang berada di sekolah-sekolah ini mengambil tanggungjawab secara bersungguh bagi memastikan pelajar mereka masih dapat meneruskan pembelajaran pada musim PKP.

"Mereka mengambil inisiatif sendiri dengan pelbagai cara seperti menghasilkan nota dan latihan dalam bentuk hard copy sebelum diedarkan kepada murid, ada juga yang melalui ketua kampung.

"Dalam sesetengah kes pula, guru-guru ini meletakkan kerja-kerja latihan di pondok pengawal dan dari situ pelajar atau ibu bapa mereka akan datang ambil secara pandu lalu," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, daya usaha ditunjukkan guru-guru berkenaan menjadikan pelajar yang tidak mempunyai akses kepada capaian internet atau peranti elektronik ini tidak ketinggalan berbanding rakan-rakan dari sekolah lain.

Artikel Berkaitan:

Razman menyempurnakan gimik perasmian Pertandingan Proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Kreatif Atas Talian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) peringkat negeri Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Pulai hari ini.
Razman menyempurnakan gimik perasmian Pertandingan Proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Kreatif Atas Talian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) peringkat negeri Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Pulai hari ini.

Katanya, kerajaan negeri kini dalam usaha untuk meningkatkan capaian internet sekurang-kurangnya kepada 90 peratus agar kaedah baru PdP dalam talian ini dapat diteruskan selari dengan normal baharu.

"Kita tidak mahu timbul jurang antara pelajar apabila kaedah ini diteruskan nanti," katanya.

Terdahulu Razman melancarkan Pertandingan Proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Kreatif Atas Talian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) peringkat negeri Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Pulai di sini hari ini.

Pertandingan itu diadakan bagi menghargai jasa dan memberi pengiktirafan kepada guru yang bertungkus lumus melaksanakan PdP dalam talian dalam tempoh penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Razman berkata, mengikut rekod Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), terdapat hampir 700 video teknik pengajaran telah dikongsi guru seluruh Perak sepanjang PKP.

"Pertandingan ini untuk memberi motivasi kepada guru-guru ini atas inisiatif mereka membangunkan idea menyediakan bahan PdPc hanya untuk memastikan kecemerlangan pelajar.

"Ia terbahagi kepada kategori pra sekolah, pendidikan khas, sekolah rendah dan menengah dengan tawaran hadiah utama RM3,000," katanya.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sains Sosial) JPN Perak, Ahmad Lutfi Abu Bakar.