X

Kindly register in order to view this article
!

Universiti perlu cakna perubahan pendidikan, titah Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra (kanan) pada Majlis Sembah Menghadap Tahunan Pihak Pengurusan Tertinggi KUIPs, Kuala Perlis, hari ini.
A
A

KUALA PERLIS - Kesan wabak Covid-19 membuka peluang kepada institusi pendidikan tinggi negara menilai semula kandungan pendidikan mereka agar tidak memberi kesan buruk dan para pelajar masih boleh mendapatkan pendidikan yang terbaik.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, universiti-universiti perlu lebih cakna dan banyak belajar tentang perubahan yang berlaku akibat Covid-19 terutamanya perubahan tentang kesinambungan yang membentuk rupa baharu pendidikan tinggi negara.

Baginda yang juga merangkap Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bertitah, tidak dinafikan pendidikan tinggi di Malaysia pasca Covid-19 telah terdedah kepada dua situasi utama.

"Universiti semakin intim dengan teknologi dan semakin mengenal erti kemanusiaan. Keseimbangan teknologi dan kemanusiaan sangat penting ketika ini.

"Lebih kritikal, normal baharu yang diuar-uarkan mestilah dipasakkan dengan pemikiran dan sikap yang betul. Kita khuatir, tanpanya kita hanya akan mengalami keterujaan yang sama seperti sebelum ini," demikian titah baginda sempena Majlis Sembah Menghadap Tahunan oleh pihak pengurusan tertinggi KUIPs yang diadakan di bilik mesyuarat utama kolej universiti berkenaan di Kuala Perlis hari ini.

Terdahulu baginda dipersembahkan taklimat oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarahnya, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Ts Kamarudin Hussin dan Rektor, Prof Dr Mohd Radzi Othman mengenai Perancangan Strategik 2020-2025: Pelan Pengantarabangsaan dan Cadangan Pembangunan Kampus Tetap.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra, aspek pengajaran dan pembelajaran menjadi aspek paling terkesan malah Covid-19 dilihat sebagai agen transformasi dan pemangkin kepada pelaksanaan pembelajaran maya secara radikal.

"Penangguhan kuliah tidak boleh sama sekali dijadikan alasan bagi mengganggu proses pembelajaran kerana pembelajaran bersemuka kini boleh digantikan dengan pembelajaran maya kepada pelajar dan pensyarah termasuklah di KUIPs yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)," titah baginda.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!