PRK DUN Chini: Persiapan akhir berjalan lancar

Kerja-kerja disinfeksi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Chini Timur Satu giat dijalankan menjelang Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.Foto: Bernama
Kerja-kerja disinfeksi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Chini Timur Satu giat dijalankan menjelang Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.Foto: Bernama
A
A
A

PEKAN - Seramai 838 petugas akan bertugas pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini esok bagi memastikan kelancaran proses pengundian yang perlu dijalankan secara normal baharu.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, persiapan bagi mengadakan PRK DUN Chini esok berjalan lancar dengan beberapa kerja pemeriksaan akhir dilakukan hari ini.

Beliau berkata, semakan rapi peti undi dibuat bagi memastikan tugas di tempat mengundi berjalan lancar membabitkan 65 saluran di 13 pusat pengundian biasa esok.

“Semasa proses semakan peti undi, semua Ketua Tempat Mengundi dan kerani menyemak semua peralatan yang dibekalkan SPR kepada mereka termasuk alat tulis, dakwat pilihan raya serta borang berkaitan.

“Ini termasuklah mereka disediakan cecair pembasmi kuman, pelitup muka, berus bagi mencalit di tangan dan sarung tangan getah kepada 20,816 pengundi biasa pada hari pengundian esok,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir petugas SPR di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi PRK DUN Chini di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dekat sini hari ini.

Secara keseluruhan, terdapat 66 saluran di 14 pusat mengundi bagi DUN Chini termasuk saluran dan pusat mengundi awal membabitkan 18 pengundi polis yang selesai pada 30 Jun lepas.

Sementara itu, Azmi turut mengingatkan pengundi supaya keluar mengundi mengikut 'masa keluar mengundi yang digalakkan' seperti yang tercatat pada kad pengundi SPR bagi mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai.

Maklumat 'Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan' pada kad pengundi bertujuan memastikan berlakunya penjarakan sosial ketika pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Kita masih berharap 70 peratus pengundi di sini akan keluar mengundi esok. Kita tunggu dan lihat macam mana esok,” katanya yang juga menasihati pengundi agar menyemak pusat mengundi dan saluran mengundi bagi memudahkan proses pengundian esok.

Azmi berkata, pengundi digalakkan membawa sendiri pelitup muka ketika hadir ke pusat pengundian esok berikutan negara masih belum bebas sepenuhnya pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, pihaknya tetap akan menyediakan pelitup muka kepada mereka yang tidak membawanya di samping meminta pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.- Bernama