Afif bimbang status pelaksanaan pakej nelayan Pulau Pinang

Dr Afif Bahardin
Dr Afif Bahardin
A
A
A

GEORGETOWN - Bekas Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin menyatakan kebimbangannya terhadap pakej nelayan yang dijanjikan dalam pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Menurutnya, beliau gusar apabila Kerajaan Pulau Pinang memeterai perjanjian bersama Gamuda Bhd sebagai rakan pelaksana projek bagi pelan tersebut semalam.

Afif berkata, ia berikutan, tiada sebarang pengumuman daripada kerajaan negeri untuk mengemukakan sebarang Pelan Pengurusan Impak Sosial yang holistik bagi membantu golongan nelayan dan rakyat tempatan yang terkesan secara terus oleh projek ini.

"Saya mengambil maklum perkembangan dengan perancangan kerajaan negeri terhadap pelaksanaan PTMP dengan termeterainya perjanjian yang mana telah melantik Gamuda Bhd sebagai rakan pelaksana projek. Sebagai bekas Exco yang diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal nelayan, saya bimbang dengan perkembangan ini.

"Sebelum ini, saya telah menyelaras dan mengarahkan SRS Consortium untuk mengemukakan pakej ex-gratia dan bantuan yang setimpal untuk seluruh nelayan dan penduduk setempat bagi memenuhi syarat yang ditetapkan di dalam Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, dalam Laporan SIA tersebut, ia mengarahkan kerajaan negeri dan rakan pelaksana projek (PDP) perlu memastikan Pelan Pengurusan Impak Sosial dilaksanakan sepanjang pembinaan projek mega itu dijalankan.

"Pelan Pengurusan Impak Sosial itu yang merangkumi pakej nelayan antaranya ex-gratia, pembinaan jeti dan peluang pekerjaan kepada komuniti nelayan yang terkesan perlu dilaksanakan sepanjang pembinaan projek mega tersebut dilaksanakan.

"Bagaimanapun, sebelum dan selepas perjanjian kerajaan negeri bersama Gamuda Bhd dimeterai semalam, saya tidak maklum dan tidak langsung melihat sebarang pengumuman daripada kerajaan negeri untuk mengemukakan sebarang pelan untuk membantu rakyat dan nelayan yang terkesan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya menggesa kerajaan negeri membuat penjelasan mengenai perkara tersebut.

"Walaupun saya telah meletakkan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri, janji dan komitmen yang telah dibuat kerajaan negeri perlu dikotakan demi kebajikan dan kesejahteraan masyarakat dan rakyat setempat. Ketika memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan, nelayan menyatakan kebimbangan mereka terhadap perancangan projek.

"Kebimbangan mereka itu dizahirkan melalui pakej nelayan yang sediakan dan dikendalikan melalui Jawatankuasa Taskforce Nelayan. Namun sejak saya melepaskan jawatan, saya difahamkan bahawa Jawatankuasa Taskforce Nelayan di bawah kepimpinan Exco yang baharu tidak lagi aktif dan tidak meneruskan usaha ini.

Tambahnya, lebih membimbangkan, telah terbukti bahawa komponen pakej kesan impak sosial tidak dimasukkan ke dalam perjanjian yang termeterai baru-baru ini.

"Saya memohon untuk semua pihak, tanpa mengira fahaman politik kepartian agar sama-sama mencari jalan terbaik supaya golongan nelayan ini tidak menjadi mangsa arus pembangunan.

"Saya mohon kerajaan negeri mengambil berat pandangan yang pernah diutarakan oleh banyak pihak sebelum ini untuk menyelesaikan dahulu isu-isu nelayan dan masyarakat tempatan sebelum sebarang projek tambakan dilaksanakan," katanya.