SPRM serbu pejabat Exco Pulau Pinang

Pegawai SPRM dilihat masuk ke pejabat Ramasamy.
Pegawai SPRM dilihat masuk ke pejabat Ramasamy.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua pasukan terdiri daripada tujuh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke pejabat beberapa ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

Kumpulan pertama yang tiba di tingkat 52 bangunan berkenaan jam 9.40 pagi dipercayai menuju ke pejabat Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari.

Selang 20 minit kemudian, sepasukan lagi pegawai SPRM tiba dan masuk ke pejabat Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy.

Kehadiran pegawai SPRM itu dipercayai berkaitan siasatan terbaru projek terowong dasar laut di negeri tersebut.

Selain pejabat Zairil dan Ramasamy, tingkat 52 juga menempatkan pejabat Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco Pelancongan, Yeoh Soon Hin.

Ramasamy ketika ditemui pemberita berkata, pegawai SPRM yang berada hampir empat jam di pejabatnya hanya bertemu dengan kakitangannya.

Menurutnya, pegawai terbabit hanya menemubual dan bertanyakan mengenai beberapa dokumen kepada pembantu peribadinya serta seorang lagi kakitangannya.

Artikel Berkaitan:

Ramasamy ketika ditemui media selepas sekumpulan pegawai SPRM hadir ke pejabatnya pagi tadi.
Ramasamy ketika ditemui media selepas sekumpulan pegawai SPRM hadir ke pejabatnya pagi tadi.

"Saya pun tidak pasti siasatan ini dilakukan berkaitan kes apa namun tidak menolak kemungkinan ia berhubung projek mega di negeri ini.

"Mereka cuma ambil keterangan daripada kakitangan saya, ambil gambar pejabat dan tengok senarai kakitangan. Mereka tak tanya apa-apa pada saya," katanya.

Ramasamy berkata, sebelum ini, beliau pernah dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes terowong dasar laut pada 2018, namun ia terhenti.

Sebelum ini, Ketua Menter,i Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan terbaharu yang dijalankan SPRM dipercayai berhubung kes projek terowong dasar laut.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini menerima surat daripada SPRM bagi mengambil keterangan beberapa pemimpin termasuk bekas exco yang terlibat semasa proses tender projek berkenaan dijalankan sebelum ini.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak tahu mengenai butiran siasatan yang dilakukan dan pihaknya menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan tugas mereka.

Beliau berkata demikian susulan daripada penahanan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam yang direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes SPRM.

Difahamkan penahanan Jeffrey Chew adalah dipercayai berkaitan siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.