Pulau Pinang batal tiga majlis rasmi

Datuk Law Choo Kiang
Datuk Law Choo Kiang
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk menjadualkan semula sembilan majlis rasmi di peringkat negeri bagi tahun ini susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diadakan baru-baru ini.

Menurutnya, tiga daripada majlis rasmi telah dibatalkan adalah Majlis Perhimpunan Ummah Sempena Sambutan Ma'al Hijrah, Hari Pahlawan dan Majlis Perhimpunan Ummah Sambutan Maulidur Rasul.

"Berdasarkan keadaan semasa negara yang sedang berhadapan dengan wabak Covid-19, Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang telah bersetuju untuk menjadualkan semula majlis rasmi Kerajaan Pulau Pinang yang telah dirancang bagi tahun ini. Tiga daripadanya dibatalkan manakala yang lain, ada perubahan tarikh.

"Majlis Perhimpunan Ummah Sempena Sambutan Ma'al Hijrah pada 19 Ogos dibatalkan dan hanya majlis kesyukuran diadakan pada 20 Ogos. Sementara itu, Majlis Perhimpunan Ummah Sambutan Maulidur Rasul pada 29 Oktober juga akan diganti dengan majlis kesyukuran pada hari sama," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Choo Kiang yang juga Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Pulau Pinang berkata, Majlis Kesyukuran Sambutan Hari Keputeraan Agong peringkat negeri ditunda ke tarikh yang akan diselaraskan dengan peringkat kebangsaan.

"Selain itu, semua aktiviti yang berkaitan dengan acara sambutan Hari Ulang Tahun Yang Di- Pertua Pulau Pinang pada Julai 2020 juga akan ditunda ke November ini. Bagaimanapun, tarikh ulang tahun Yang Di-Pertua Pulau Pinang yang diwartakan sebagai cuti umum (bagi Pulau Pinang) kekal pada 11 Julai ini.

"Hanya majlis kesyukuran (bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat) akan diadakan pada 9 Julai berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya menjaga penjarakan sosial dan had kehadiran tetamu maksima 250 orang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Majlis Perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan diselaras dan disesuaikan mengikut konsep di peringkat kebangsaan.

"Bagaimanapun, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Kebangsaan serta akan diadakan pada 6 Ogos ini yang akan diselaras dan disesuaikan mengikut konsep di peringkat kebangsaan. Hari Malaysia juga tetap disambut pada 16 September ini.

"Selain itu, Majlis Rumah Terbuka Hari Deepavali Pinang pada November ini dan Majlis Rumah Terbuka Hari Krismas pada Disember akan dilaksanakan seperti biasa iaitu bersesuaian mengikut konsep di peringkat kebangsaan. Bagaimanapun, sebarang pindaan akan dimaklumkan dari masa ke semasa," katanya.