Hantaran jelik terhadap Menteri Kesihatan: Pesara didenda RM2,000

Adham
Adham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pesara kerajaan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di Facebook, Mac lalu.

Abdullah Sani Ahmad, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama sebulan jika gagal membayar denda.

Dalam penghakimannya, Edwin berkata, mahkamah mengambil kira gaya bahasa kritikan yang dibuat itu tidak keterlaluan namun bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya, bahawa tertuduh perlu lebih sensitif ketika membuat hantaran di laman sosial yang boleh dibaca oleh orang ramai.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan dengan niat untuk menganiayai orang lain.

Kesalahan dilakukan pada jam 11.45 malam, 31 Mac lalu, menerusi aplikasi Facebook dengan menggunakan profil Sani Ahmad dan dibaca di Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 8 pagi, 1 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya lebih sensitif sebelum membuat sebarang hantaran di laman sosial.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman minimum kerana tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan selain hanya bergantung kepada wang pencen setiap bulan.

Tertuduh yang tinggal di Jitra, Kedah berkata, dia menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama di masa depan.