Denggi di Johor serius, catat 5,107 kes

Johor kini menghadapi masalah penyakit demam denggi yang serius apabila 5,107 kes dilaporkan sehingga 27 Jun lalu. - Foto 123RF
Johor kini menghadapi masalah penyakit demam denggi yang serius apabila 5,107 kes dilaporkan sehingga 27 Jun lalu. - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor kini menghadapi masalah penyakit demam denggi yang serius apabila 5,107 kes dilaporkan sehingga 27 Jun lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyanathan berkata, walaupun jika dibandingkan pada tempoh sama tahun lalu didapati menurun iaitu 5,142 kes, sebenarnya statistik itu tidak signifikan.

"Malahan terdapat peningkatan dalam kematian akibat denggi yang ketara. Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan 20 kematian pada tahun ini berbanding dengan 15 kes pada tempoh sama tahun lalu. Sebanyak 34 lokaliti wabak baharu dilaporkan pada minggu epid 26, menjadikan jumlah wabak aktif semasa sebanyak 91 lokaliti. Daerah paling tinggi melaporkan kes adalah di Johor Bahru iaitu 80.2 peratus.

"Diikuti Kulai (3.9 peratus); Kluang (3.7 peratus); Segamat (3.3 peratus); Batu Pahat (2.4 peratus); Mersing (2.1 peratus); Kota Tinggi (1.4 peratus); Muar (1.1 peratus); Pontian (0.9 peratus) dan Tangkak (0.9 peratus)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, faktor penyumbang utama kejadian demam denggi di Johor adalah pengabaian aspek kebersihan persekitaran khususnya tabiat pembuangan sampah yang tidak teratur dan sempurna menyumbang kepada bekas-bekas berpotensi membiak nyamuk aedes.

Katanya, masyarakat perlu sentiasa menjaga kebersihan kawasan sekeliling rumah dan segera menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau dalam rumah dengan memastikan tiada tempat takungan selain perlu memeriksa persekitaran rumah sendiri dengan meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Tegasnya, jika terdapat pembiakan aedes di premis kediaman, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun boleh didenda di mahkamah maksimum RM10,000.

"Masyarakat juga perlu sertai usaha pemusnahan Aedes melalui program komuniti yang merupakan sebahagian Kempen Perangi Denggi Johor. Jangan lupa sekiranya demam, segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran. Sebarang kelewatan boleh membawa maut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama ujarnya, jabatan kesihatan berharap orang ramai sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber yang boleh dipercayai sebelum menularkan sesuatu informasi.