Pas tidak layan kekacauan politik akibat perebutan kuasa

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa Pas mementingkan kestabilan politik dan tidak wajar melayani kekacauan politik akibat perebutan kuasa.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar, berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian ketika ini ialah pemulihan agenda sosial ekonomi selepas wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, rakyat mahu kualiti hidup yang lebih baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tempoh tiga bulan kerajaan dipimpin Muhyiddin banyak menyelamatkan negara. Antaranya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dan kecekapan pengurusan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Selain itu, pengurusan perkhidmatan kesihatan yang cemerlang, pengumuman pakej Prihatin dan Penjana bernilai RM295 bilion,” kata Tuan Ibrahim ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan parti itu secara rasmi mengumumkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Malaysia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, pelbagai agenda kini sedang dirancang oleh kerajaan dan memerlukan kepada pelaksanaan secara berdasar oleh Kabinet di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu.

Menurutnya, dalam tempoh 22 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, rakyat perlu berhadapan dengan krisis keyakinan dan Malaysia perlu mengambil iktibar daripada tempoh itu.

ARTIKEL BERKAITAN - Pas sokong Muhyiddin sebagai calon PM hadapi PRU15

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa Pas menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.