Sokongan PN terhadap Muhyiddin demi agenda perjuangan Melayu

Dari kanan: Eddin, Mohd Rafiq, Adi Farhan dan Ceasar Mandela ketika bersama di Majlis Santai Armada Sejati Bersama Armada Negeri Sembilan, malam tadi.
Dari kanan: Eddin, Mohd Rafiq, Adi Farhan dan Ceasar Mandela ketika bersama di Majlis Santai Armada Sejati Bersama Armada Negeri Sembilan, malam tadi.
A
A
A

PORT DICKSON – [DIKEMASKINI] Pimpinan tertinggi Bersatu Negeri Sembilan dan Melaka menghargai sokongan dan pencalonan Perikatan Nasional (PN) agar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin terus menjadi Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, sokongan dan pencalonan berkenaan sebagai satu tanda yang sangat positif ketika kebelakangan ini kita menerima pelbagai dakwaan tidak betul, akhirnya terbukti pucuk pimpinan tertinggi PN sebenarnya saling bekerjasama.

Kata beliau, kerjasama erat ini membuktikan agenda perjuangan PN adalah untuk memperkasakan kepimpinan Melayu khasnya dan kesejahteraan Malaysia amnya.

“Pengiktirafan itu membuktikan bahawa Muhyiddin layak untuk terus memimpin negara dan berhadapan dengan segala cabaran di masa depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas sokong Muhyiddin sebagai calon PM hadapi PRU15

UMNO selari Pas, sokong Muhyiddin sebagai PM

“Pengalaman Muhyiddin sebagai orang lama dalam kepimpinan negeri dan negara menjadikan beliau sebagai individu yang lulus ujian untuk menerima tanggungjawab besar menjawat jawatan Perdana Menteri.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada seluruh kepimpinan tertinggi PN atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin,” katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada Majlis Santai Armada Sejati Bersama Armada Negeri Sembilan di Pantai Teluk Kemang malam tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan Tertinggi Bersatu Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, calon Naib Ketua Armada Nasional, Ceasar Mandela Malakun dan calon Exco Armada Nasional, Adi Farhan Isa.

Semalam, UMNO dan Pas menyatakan persetujuan mencalonkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15 atas semangat permuafakatan politik Melayu

Sementara itu, Mohd Rafiq berkata, sokongan berkenaan memberi satu isyarat bahawa kepimpinan dan ketokohan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri sudah mendapat penilaian tinggi daripada pemimpin Umno/Barisan Nasional dan Pas.

Ujar beliau, pencalonan daripada PN ini juga membuktikan segala tohmahan dan fitnah sebelum ini bahawa kerjasama dalam PN bersifat sementara serta tidak akan kekal lama.

“Sokongan daripada PN terhadap Muhyiddin jelas menunjukkan isyarat bahawa Umno, Pas dan Bersatu serta parti komponen lain dalam BN sudah membentuk satu kerjasama yang kukuh untuk menghadapi Pakatan Harapan pada PRU15 nanti.

“Saya yakin kewibawaan dan ketokohan besar Tan Sri Muhyiddin akan membawa kemenangan besar kepada PN dan terus menjadi kerajaan utuh selepas PRU15,” katanya.