Calon, pengundi diingatkan patuh peraturan pada hari mengundi

Pengundi DUN Chini akan mengundi calon wakil rakyat pilihan mereka esok.
Pengundi DUN Chini akan mengundi calon wakil rakyat pilihan mereka esok.
A
A
A

PEKAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan bahawa tiada pihak boleh merayu undi termasuk di luar pusat mengundi dan melalui saluran media sosial pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri ( DUN) Chini, esok.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, semua parti atau calon bertanding juga dilarang membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi.

Menurutnya, tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini sehingga jam 11.59 malam dan semua pihak perlu menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

"Pengundi, calon dan petugas yang memasuki pusat mengundi pada hari mengundi dilarang memakai baju yang mempunyai nama, simbol gambar parti atau calon yang bertanding atau membawa sebarang bahan kempen, tagline atau slogan kempen yang menjurus kepada sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

"Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Azmi berkata, semua pihak digesa mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.

"Sekali lagi kita nasihatkan pengundi supaya keluar mengundi mengikut 'masa keluar mengundi yang digalakkan' seperti mana tercatat pada kad pengundi dan tidak keluar mengundi

di saat akhir walaupun waktu mengundi ditetapkan dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Artikel Berkaitan:

"Majikan juga diingatkan supaya membenarkan pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRK DUN Chini, esok.

"Mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata, SPR menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian, esok.

"Semakan ini bagi memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian esok lengkap dan berkeadaan baik.

"Peralatan ini diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi (13 Pusat Mengundi dan 65 Saluran) yang akan dibuka esok," katanya.

Menurutnya, seramai 838 petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok yang menyaksikan 20,816 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab.