Aubameyang sensasi The Gunners

Aubameyang memahat sejarah tersendiri apabila meledak 50 gol buat Arsenal dalam saingan EPL.
Aubameyang memahat sejarah tersendiri apabila meledak 50 gol buat Arsenal dalam saingan EPL.
A
A
A

Penyerang sensasi Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang yang kini menjadi perhatian dua gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid akan mengadakan rundingan dengan kelab London itu berkenaan kontrak baharunya.

Semalam, bintang Gabon berusia 31 tahun itu menyumbang dua gol bagi membantu Arsenal membenam Norwich City 4-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates.

Terdahulu, Aubameyang yang kontraknya akan berakhir pada 2021 memaklumkan bahawa pihak pengurusan The Gunners masih belum menawarkan sebarang kontrak baharu untuk dia kekal di Emirates.

Namun, setelah meledak dua gol setiap babak ketika mengatasi The Canaries, Aubameyang mengesahkan akan berbincang mengenai perjanjian baharu selepas kelab itu mengekalkan khidmat Bukayo Saka.

“Saya sangat gembira kerana Bukayo Saka telah menandatangan kontrak baharu dan kita akan lihat apa yang berlaku selepas ini. Saya akan bercakap dengan kelab dan berharap semuanya positif.

“Saya benar-benar fokus pada permainan dan kami melakukannya dengan baik sejak kedatangan pengurus, Mikel Arteta ke Arsenal. Kami bekerja dengan baik seterusnya mempamerkan tanda-tanda sedang meningkat,” katanya.

Dua gol sumbangan Aubameyang itu menyaksikan dia kini berjaya memahat 50 gol pada kempen EPL dalam 79 penampilan, sekali gus melakar sejarah tersendiri muncul sebagai pemain terpantas Arsenal mencipta jumlah jaringan tersebut.

Ketika ditanya prospek bekas peledak Borussia Dortmund itu kekal di Emirates, Arteta berkata, dia optimis Aubameyang akan memperkuatkan cabaran Arsenal musim depan.

Artikel Berkaitan:

“Dia tahu apa yang kita cuba lakukan di sini, diharapkan dia akan berada lama di sini. Dia selalu berusaha menjadi yang terbaik, menjaringkan gol untuk membantu Arsenal menjadi sebuah kelab hebat.

“Saya sangat gembira dengannya bukan hanya untuk gol tetapi sikapnya secara keseluruhan terhadap falsafah kelab ini. Apa yang dia raih pada hari ini merupakan catatan terpantas untuk kelab,” ujarnya.