Malaysia kenakan bayaran ujian Covid-19 di pintu masuk negara

Bagi warganegara, kadar fi untuk ujian tindak balas berantai polimerase ditetapkan pada harga RM150, kit ujian pantas antigen RM60 dan kit ujian pantas antibodi RM30. - Foto 123RF
Bagi warganegara, kadar fi untuk ujian tindak balas berantai polimerase ditetapkan pada harga RM150, kit ujian pantas antigen RM60 dan kit ujian pantas antibodi RM30. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia dan warga asing yang memasuki negara ini dari luar negara perlu menjelaskan bayaran ujian pengesanan koronavirus (Covid-19) sebelum mendapat pelepasan imigresen di seluruh pintu masuk negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba berkata, perkara itu selaras dengan penguatkuasaan Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 pada 29 Jun lalu.

Menurutnya, ujian pengesanan Covid-19 boleh dilakukan di hospital kerajaan atau klinik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kadar yang telah ditetapkan.

"Bagi warganegara, kadar fi untuk ujian tindak balas berantai polimerase ditetapkan pada harga RM150, kit ujian pantas antigen RM60 dan kit ujian pantas antibodi RM30.

"Fi ujian tindak balas berantai polimerase bagi warga asing pula ditetapkan RM250, kit ujian pantas antigen RM120 dan kit ujian pantas antibodi RM60," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian pengesanan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa dan fasiliti KKM menggunakan teknik tindak balas berantai polimerase atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

"Ketika ini ujian kit ujian pantas antibodi digunakan ke atas individu yang diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah pada hari ke-13 sebelum mereka dilepaskan dari perintah tersebut sehari selepas itu," katanya.

Bagaimanapun Dr Adham berkata, tiga golongan telah dikecualikan fi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mereka adalah pegawai kerajaan yang pulang dari luar negara atas urusan rasmi, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar yang pulang dari luar negara buat kali pertama," katanya.