Reezal Merican hargai sumbangan wartawan sukan

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau sangat menghargai sumbangan dan pengorbanan wartawan sukan di Malaysia yang bekerja keras melaporkan berita dan perkembangan sukan kepada umum.

“Saya sangat menghargai sumbangan besar wartawan sukan dalam bersama-sama membangunkan sukan negara melalui tulisan dan laporan mereka yang positif dan membina,” katanya menerusi Facebook beliau sempena sambutan Hari Wartawan Sukan Sedunia.

Reezal Merican juga mengucapkan selamat menyambut Hari Wartawan Sukan Sedunia kepada semua pengamal media sukan seluruh negara dan ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Hari Wartawan Sukan Sedunia disambut pada setiap 2 Julai oleh wartawan sukan di seluruh dunia sempena memperingati tarikh penubuhan Persatuan Penulis Sukan Antarabangsa (AIPS) pada tahun 1924 yang kini disertai oleh lebih 156 negara termasuk Malaysia.

Sementara itu, Presiden SAM, Jasni Shafie berkata, penghargaan Reezal Merican membuktikan keprihatinannya kepada golongan wartawan sukan di negara ini, biarpun baharu sahaja diberikan tugas sebagai peneraju Kementerian Belia dan Sukan.

“Wartawan sukan di Malaysia berdepan dengan cabaran yang sangat besar, lebih-lebih lagi dengan tindakan pengecilan atau penutupan beberapa operasi media di negara kita yang menyaksikan sebahagian daripada rakan kita kehilangan pekerjaan tetap.

“Apapun, kita tetap berbangga dengan sumbangan yang telah kita curahkan dalam membantu pembangunan sukan negara selain memupuk semangat integrasi di antara kaum di Malaysia. Kepada kesemua peminat sukan dan masyarakat keseluruhannya, marilah sama-sama kita menghargai sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh wartawan sukan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: