Latihan penuh serlahkan impak taktikal

Imbas kembali... Skuad The Bos Gaurus ketika menjalani latihan penuh di Stadium Perak pada 26 Februari lalu. - Foto Perak TBG
Imbas kembali... Skuad The Bos Gaurus ketika menjalani latihan penuh di Stadium Perak pada 26 Februari lalu. - Foto Perak TBG
A
A
A

PERSIAPAN pasukan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang ditangguhkan sejak Mac lalu akan menjadi lebih berkesan sekiranya kelonggaran mengadakan latihan penuh secara sentuhan dibenarkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melaka, Asri Ninggal berkata, segala perancangan barisan kejurulatihan pasti lebih mudah terutama dalam merencanakan latihan taktikal yang memerlukan penglibatan kesemua pemain dalam satu sesi latihan.

“Sememangnya ia pasti melegakan semua pasukan dan diharapkan cadangan ini nanti mampu diterima kerana saya rasa dalam peringkat ini, latihan penuh sudah boleh dimulakan bagi memudahkan jurulatih melakukan perancangan aspek taktikal.

“Tambahan pula terdapat kemungkinan liga akan bermula awal, saya rasa setiap jurulatih pasti mempunyai masa mencukupi dalam menyiapkan pasukan jika latihan secara penuh mendapat kebenaran,” menurutnya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia hari ini.

Beliau berkata, dari segi pengurusan, kebenaran latihan secara sentuhan dapat kembali meyakinkan pihak penaja terhadap kesinambungan Liga-M meskipun ketika ini tiada keputusan mengenai kehadiran penyokong ke stadium.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan mengesahkan akan membawa cadangan memberi kelonggaran bagi semua pasukan mengadakan latihan secara kontak penuh pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 9 Julai ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah, Andrew Majanggim mengingatkan semua pihak agar jangan terlalu ghairah sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan

Sebagai antara rakan kongsi Liga-M, beliau sememangnya mahukan latihan secara sentuhan tetapi enggan melihat pasukan gagal mematuhi SOP yang boleh menggugat potensi Liga-M bersambung semula.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak mahu keghairahan segelintir pihak nanti akan membunuh peluang Liga-M boleh bersambung pada tahun ini memandangkan penularan wabak ini masih belum berakhir sepenuhnya.

“Setiap rakan kongsi perlu sentiasa bertanggungjawab terhadap pasukan masing-masing,“ katanya.