'PRK Semenyih matangkan hubungan Pas, Umno'

Sallehen Mukhyi
Sallehen Mukhyi
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor yakin PRK Dun Semenyih bakal mematangkan lagi hubungan kerjasamanya dengan BN khususnya Umno demi merampas kembali kerusi berkenaan daripada PH.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, berdasarkan pengalaman dalam beberapa PRK baru-baru ini, parti itu akan menggerakkan sepenuhnya jentera Pas sebagai komitmen bagi memenangkan calon Umno yang bertanding pada PRK Dun Semenyih.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan untuk memastikan 6,996 pengundi Pas pada PRU14 lepas, bakal mengundi calon BN pada PRK berkenaan.

“Fokus kita adalah untuk kekalkan undi Pas yang kita dapat dan memastikan mereka mengundi calon BN malah sasar untuk menambah lagi 20 peratus undi. Kita akan memberi komitmen (kepada BN dan Umno) kerana nada (komitmen) ini diterima daripada Pas Pusat.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Semenyih: Umno pertaruh muka baharu?]

“Jentera Pas akan turun sepenuhnya bersama dengan BN dan kita akan pastikan bilik-bilik gerakan Pas akan turut beroperasi pada PRK ini,” katanya dalam sidang media bersama pemimpin Umno Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam nama disenarai pendek dan dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon PRK Dun Semenyih.

Katanya, enam nama itu merangkumi calon daripada sayap Wanita serta Pemuda Umno Bahagian Semenyih selain menampilkan calon daripada golongan profesional.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas Adun Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz menyatakan bahawa beliau tidak akan bertanding pada PRK itu sebaliknya akan bertindak sebagai pengarah jentera pilihan raya BN.

“Saya beri peluang dan laluan kepada sahabat dalam BN khususnya Umno (untuk bertanding). Semua calon yang disenarai pendek itu merupakan pengundi di Dun Semenyih,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Pas Pusat memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada PRK Dun Semenyih sebaliknya akan menggerakkan jentera bagi membantu BN.

PRK Dun Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini dan penamaan calon ditetapkan pada 16 Feb, manakala hari mengundi awal pada 26 Februari.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Allahyarham yang mewakili Bersatu memperoleh 23,428 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Johan, Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi. - Bernama