PRU15: Putra mahu tanding 15 kerusi di Perak

Hamidah
Hamidah
A
A
A

BATU KURAU - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengenal pasti lima kawasan Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak untuk meletakkan calonnya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, Putra juga sudah mengenal pasti calon yang layak dan kebanyakan mereka terdiri dalam kalangan orang tempatan dan mempunyai latar belakang profesional.

Selain di Perak, katanya, ketua Putra di setiap negeri juga sudah diarahkan mengenal pasti kerusi dan calon berpotensi untuk bertanding.

"Setakat ini kita tidak boleh dedahkan secara terperinci kerusi-kerusi dan calon tersebut cuma apa yang boleh saya katakan, kesemua kawasan yang kita pilih ini mempunyai potensi untuk kita menang.

"Putra sebenarnya mahu menjadi parti alternatif kepada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kerana kita tahu ramai yang tak suka mereka serta tidak ada pilihan.

"Jadi, kita tampil sebagai pilihan kerana kita tidak akan bersama dengan mana-mana gabungan," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas mengadakan lawatan kerja di sini semalam.

Hamidah berkata, calon yang akan ditampilkan oleh Putra pada PRU15 kebanyakannya muka baharu dan bersih daripada sebarang kontroversi serta disenangi masyarakat setempat.

"Mereka yang akan ditonjolkan sebagai calon bukanlah terdiri daripada nama-nama besar dalam politik tetapi individu bukan berlatar belakang daripada parti politik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hamidah berkata, hasrat Putra meletakkan calon bertanding pada PRU15 dibuat selepas mendapat permintaan rakyat yang mahukan parti baharu untuk membela mereka.

Menurutnya, pendekatan yang digunakan menjurus kepada penyelesaian isu-isu setempat melibatkan kepentingan orang ramai.

"Perpecahan yang berlaku dalam dua pakatan terbesar parti politik sedia ada mencerminkan bahawa pertandingan lebih daripada dua penjuru pasti akan berlaku pada PRU15.

"Saya nampak sukar untuk pertandingan satu lawan satu pada PRU15 nanti kerana mereka sekarang berdepan masalah untuk membahagikan kerusi," katanya yang menjangkakan Putra akan mencipta kejutan pada PRU akan datang.