Kempen saat akhir tarik pengundi

Mohd Shukri lebih memilih kempen dengan cara tersendiri melalui platform media sosial.
Mohd Shukri lebih memilih kempen dengan cara tersendiri melalui platform media sosial.
A
A
A

MENJELANG hari terakhir tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang berlangsung Sabtu ini, tidak banyak dapat dilakukan calon bertanding.

Baik daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain atau dua pencabarnya, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli yang bertanding atas tiket Bebas.

Saat akhir berkempen hari ini sudah pasti memberikan tekanan kepada dua calon Bebas kerana masa terlalu suntuk untuk menemui semaksimum mungkin pengundi di DUN berkenaan.

Apatah lagi ketika PRK normal baharu ketika ini yang menggariskan beberapa garis panduan yang menghalang mereka menemui pengundi dalam jumlah besar pada satu-satu masa.

Bagi calon Bebas, mereka mungkin sudah menjangkakan pelbagai kekangan yang terpaksa dihadapi sejak dari awal tempoh kempen bermula selepas penamaan calon 20 Jun lalu.

Sudah tentu kekangan dihadapi calon Bebas ini memberi kelebihan kepada Mohd Sharim yang jika dilihat di atas kertas aktiviti kempennya selama 12 hari ini jauh ke hadapan.

Sebagai calon parti UMNO, beliau didokong padu baik daripada jentera BN atau parti gabungan Perikatan Nasional (PN) terdiri Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kehadiran pemimpin utama daripada BN dan PN yang turun padang membantu calon BN melalui pelbagai program diaturkan sudah pasti memberi impak dalam menarik sokongan pengundi.

Artikel Berkaitan:

Tidak boleh dinafikan pengaruh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tetap mempengaruhi sentimen pengundi di DUN Chini.

Ditambah dengan sokongan padu pemimpin BN dan PN negeri khususnya Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, meletakkan calon BN pada kedudukan yang lebih selesa.

Pada masa sama, kesungguhan Mohd Sharim sendiri turun padang menemui pengundi di semua peringkat termasuk peranan dimainkan jentera dalam mendekati pengundi luar meletakkan calon itu ‘lebih dekat’ dengan pengundi yang bakal menentukan siapa wakil rakyat baharu yang bakal mewakili mereka.

Mohd Sharim dilihat jauh mendahului sepanjang tempoh kempen PRK DUN Chini kerana sokongan padu jentera BN di semua peringkat.
Mohd Sharim dilihat jauh mendahului sepanjang tempoh kempen PRK DUN Chini kerana sokongan padu jentera BN di semua peringkat.

Sungguhpun begitu, calon Bebas, Tengku Zainul Hisham tidak menyerah lebih awal biarpun beberapa hari lalu beliau sendiri mengakui tidak mampu untuk menemui semua pengundinya.

Hari-hari terakhir ternyata dimanfaatkan sepenuh dengan menggandakan aktiviti kempennya bagi menemui seramai mungkin pengundi.

Pada awalnya, beliau memberi tumpuan kepada pengundi dalam kalangan orang asli dan penduduk kampung tradisi dan pada pusingan akhir, sasarannya kepada pengundi dalam kalangan warga Felda.

Sedar akan kekangan waktu, beliau mengambil inisiatif mewujudkan borang aduan dan pendapat secara dalam talian supaya tiada isu penduduk tercicir daripada pengetahuannya.

Beliau sendiri memberi jaminan semua aduan dan pandangan yang diterima akan diambil maklum untuk tindakan sewajarnya tidak kira beliau menang atau kalah.

Setidak-tidaknya langkah yang diambil calon Bebas itu memberikan keyakinan kepada pengundi terhadap janji manifestonya untuk menjadi suara penduduk Chini dalam mengetengahkan isu dan permasalahan penduduk.

Tengku Zainul Hisham adalah antara calon yang dikenali pengundi di Chini dan beliau menggandakan aktiviti kempen menjelang saat-saat akhir.
Tengku Zainul Hisham adalah antara calon yang dikenali pengundi di Chini dan beliau menggandakan aktiviti kempen menjelang saat-saat akhir.

Antara tiga calon PRK DUN Chini, bagi pemerhati, kempen Mohd Shukri mungkin dilihat agak kurang meyakinkan walaupun beliau mempunyai kaedah kempen tersendiri yang lebih bergantung kepada media sosial.

Beliau mengambil pendekatan dengan memaparkan isu yang diketengahkan dengan membuat siaran langsung di lokasi melalui live Facebook di Channel CMK FM atau merakam dan memuat naik video ke platform YouTube.

Mungkin video-videonya mendapat tontonan tinggi namun ia tidak memberi gambaran sebenar bahawa view itu datangnya daripada pengundi di sini.

Justeru, beliau juga tidak abaikan kempen bersemuka namun tanpa jentera yang mantap, sudah tentu impaknya kurang berkesan dan tidak memberi jaminan untuk menarik undi pada hari pengundian nanti.