Michael Ang beri inspirasi masakan halal

Selain handal memasak, sentuhan Michael dalam drama juga mendapat pujian ramai. - Foto Astro
Selain handal memasak, sentuhan Michael dalam drama juga mendapat pujian ramai. - Foto Astro
A
A
A

SETELAH berjaya menarik minat penonton menerusi program masakan, Michael Ang’s Halal Kitchen, pengarah dan penerbit, Michael Ang kembali dengan program sama untuk musim kedua.

Sudah menemui penonton di saluran Naura (Astro 109), program berdurasi 30 minit itu akan bersiaran selama 26 episod bagi musim terbaharu ini.

Pada musim pertama, Michael Ang’s Halal Kitchen menyaksikan Michael mengubah cara masakan makanan kegemaran warga Cina tempatan dengan menggunakan bahan masakan yang halal dan sesuai untuk masyarakat beragama Islam di Malaysia.

Bagi musim kedua ini pula, pengarah drama Setelah Terlafaznya Akad dan Sweet Dreams itu kembali ke dapur dengan memfokuskan hidangan dan sajian antarabangsa dari negara Filipina, Scotland, England, Thailand, Perancis, Uzbekistan dan banyak lagi, menggunakan bahan-bahan masakan yang halal.

Ditemani artis-artis jemputan seperti Mark Adam, Amelia Henderson, Diana Danielle, Mawar Rashid, Mona Allen, Jonathan Putra, Ramona Zam Zam dan ramai lagi, Michael juga berborak secara santai tentang selok belok kehidupan peribadi serta perkembangan terbaharu mereka dalam kerjaya.

Bercerita kelebihan musim kedua ini, Michael berkata, kebanyakan menu yang dipilih adalah makanan kegemarannya sebelum memeluk Islam.

"Ikutkan saya memang tak makan daging khinzir dari sebelum Islam lagi. Jadi dari dulu saya akan olah resepi jika teringin nak makan sesuatu menu yang mengandungi daging khinzir.

"Selain itu ada juga menu-menu yang mengandungi bahan tidak halal seperti alkohol dan sebagainya. Jadi saya olah resepi itu dengan bahan yang akan membuatkan rasanya hampir sama," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Michael Ang olah resipi luar dan dalam negara demi Michael Ang’s Halal Kitchen. - Foto Astro
Michael Ang olah resipi luar dan dalam negara demi Michael Ang’s Halal Kitchen. - Foto Astro

Tambah Michael, dia juga akan jujur sekiranya sesuatu menu itu kurang sedap atau tidak menepati selera ramai selepas dimasak dalam program tersebut.

"Kalau saya rasa kurang sedap atau rasa ia tak menepati selera ramai, saya jujur sahaja. Saya kata kalau tak rajin tak payah buat.

"Tapi Alhamdulillah kebanyakannya menepati selera ramai dan saya harap penonton yang menonton rancangan itu akan mencuba dan berkongsi pandangan," ujarnya.

Kongsi menu di Instagram

Dalam pada itu, ditanya mengenai program masakan di YouTube atau perancangan lain untuk menerbitkan buku masakan, Michael berkata, dia tidak mempunyai perancangan ke arah itu lantaran kesibukan waktu.

Bagaimanapun, dia ada berkongsi beberapa menu lain menerusi Instagram miliknya.

"Saya tak ada masa untuk rekod dan sunting video masakan. Jadi kadangkala saya akan kongsi sesuatu menu yang saya rasa jarang orang Islam makan tetapi boleh dimakan menerusi Instagram sahaja.

"Memang ramai yang suruh saya buka saluran YouTube untuk kongsi menu masakan tapi saya tak ada masa.

"Nak terbit buka rasa tak berbaloi pula sebab zaman sekarang ini semuanya di hujung jari," ujarnya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama Perempuan Tanpa Dosa.