Definisi kejuruteraan acuan MIT

A
A
A

KAJIAN Massachusetts Institute of Technology (MIT), Boston, Amerika Syarikat bertajuk The Global State of the Art in Engineering Solution harus diteliti dengan serius. Kajian tersebut dilaksanakan bersama beberapa universiti ternama dunia.

Hasil kajian MIT menunjukkan kepimpinan pendidikan kejuruteraan ialah ‘pusat graviti’ program terkemuka dunia sekali gus mendorong generasi baharu sebagai pelaburan paling strategik dalam pendidikan teknikal secara inkubator.

Apatah lagi kajian mendapati cukup ramai anak muda beralih arah memulakan perniagaan secara dalam talian sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, laporan kajian MIT boleh membuka mata semua pihak di negara ini termasuk universiti awam dan swasta. Antara inti pati kajian berkenaan ialah cara terbaik untuk menghasilkan bakat keusahawanan berasas teknologi tinggi sekali gus mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih besar.

Penulis pula percaya hasil kajian ini bertepatan dengan usaha kerajaan Selangor yang mahu memulakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Universiti Selangor (Unisel). TVET sebenarnya ialah jawapan terbaik kepada kelangsungan hidup.

Kajian MIT turut mendapati lima faktor penting iaitu bidang kepimpinan semasa, kepimpinan alaf baru, perbezaan kepimpinan semasa dan akan datang, cabaran mengekang kemajuan ekonomi, dan hala tuju masa depan sektor pendidikan sebagai dapatan yang harus diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Kajian MIT sebenarnya bertepatan isi kandungan al-Quran, antaranya menyatakan walaupun mustahil manusia memahami sepenuhnya ilmu ALLAH SWT kerana kemampuan mereka terhad tetapi dengan sedikit pemerhatian tentang kejadian alam berasaskan kejuruteraan dan sains, ia cukup untuk membimbing kehidupan dunia dan akhirat.

Ini dinyatakan dalam surah Al-‘Imran ayat 190-191 bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan bersilih ganti malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal; (iaitu) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lalu berkata), Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.”

Kajian

Apatah lagi Islam dan matematik iaitu asas kepada kejuruteraan ialah antara ilmu terulung yang dikaji manusia. Nama Al-Khawarizmi tidak asing lagi. Beliau pakar matematik hasil kajian ilmu astronomi, astrologi dan geografi bermula pada 780 Masihi.

Artikel Berkaitan:

Al-Biruni pula saintis terawal 973 Masihi sebagai pengkaji ilmu sains dan matematik berasaskan astronomi, kimia, biologi dan farmakologi. Beliau terkenal dengan penemuan dasar trigonometri Ptolemeus yang merupakan cabang utama teori matematik yang paling penting dan berpengaruh dalam kejuruteraan mekanikal dan awam sehingga sekarang dan akan datang.

Awal Februari lalu, Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Ir David Lai Kong Phooi menyatakan dengan tegas bahawa nisbah piawaian jurutera kepada bilangan penduduk untuk negara maju sekurang-kurangnya 1:100. Oleh itu, untuk mencapai Malaysia sebuah negara maju dengan jumlah penduduk hampir mencecah 40 juta, jumlah jurutera profesional yang diperlukan sekurang-kurangnya 400,000 orang.

Dalam laporan sama, Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) melaporkan Malaysia mempunyai 128,000 jurutera profesional dan siswazah berdaftar. Daripada jumlah itu, hanya 98,000 jurutera profesional pelbagai bidang disiplin. Rumusannya Malaysia kekurangan hampir 300,000 jurutera profesional.

Kesimpulan, penulis mengharapkan semua ibu bapa di negara ini mendorong sekurang-kurangnya seorang anak supaya melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan untuk membantu Malaysia mencapai status negara maju dengan lebih cepat.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor