CFM beri kaedah elak malware SMS

Isu malware SMS yang disiarkan dalam Sinar Harian semalam. Gambar kanan: Mohana Mohariff
Isu malware SMS yang disiarkan dalam Sinar Harian semalam. Gambar kanan: Mohana Mohariff
A
A
A

SHAH ALAM - Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) memberi tip dan cara mengelak jika pengguna menerima kod hasad (malware) menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Pengerusi CFM, Datin Mohana Mohariff berkata, terdapat enam tip jika pengguna menerima spam SMS iaitu melaporkannya kepada penyedia perkhidmatan dan menyemak sekiranya terdapat caj atau pemotongan pada kredit pengguna.

Menurutnya, pengguna diminta tidak menekan sebarang klik pautan atau iklan pop-up yang muncul selain tidak balas mesej yang mencurigakan.

"Tip keempat ialah tidak memberikan sebarang maklumat peribadi. Pengguna juga boleh tangkap layar mesej tersebut sebagai rekod untuk melaporkan aduan.

"Terakhir, sekat untuk menghentikan SMS tersebut dengan melayari portal CFM http://www.consumerinfo.my/know-stop-sms-advertising/ bagi mengetahui cara menghentikannya," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Katanya, bagi tip untuk mengelak menerima spam SMS pula ialah tidak melayari laman web yang mencurigakan dan tidak menekan klik pada iklan yang muncul pop-up.

"Selain itu, perlu muat turun penghalang iklan (ad blocker) pada telefon bimbit atau komputer," katanya.

Beliau berkata, pengguna juga diingatkan untuk mengelakkan klik pautan perisian yang mencurigakan.

Artikel Berkaitan:

"Usah beri nombor telefon peribadi anda untuk mendapatkan hadiah percuma atau baucar promosi serta sentiasa berwaspada apabila mendaftar maklumat peribadi di mana-mana laman web," katanya.

Mohana berkata, apabila melakukan transaksi perbankan, membeli-belah atau hal yang sensitif dinasihatkan agar dielakkan menggunakan wifi awam percuma.

Semalam, Sinar Harian memaparkan aduan pengguna telefon bimbit bahawa talian yang digunakan sering menerima caj tambahan hampir puluhan ringgit setiap bulan.

Apabila disemak dalam bil telefon, syarikat telco menjelaskan pengguna terbabit menghantar beberapa SMS ke satu nombor telefon di Amerika Syarikat.

Menurut pengguna terbabit, SMS tersebut dihantar berkali-kali menyebabkan caj dalam bil bulanannya bertambah.